BELAWAI: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM161,770,000 menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak bagi membangunkan projek pembangunan pantai pelancongan Belawai.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, projek bertujuan mengembang dan merancakkan ekonomi sekitar Belawai itu dan dijangka siap pada tahun 2027.
“Projek ini akan mengambil masa selama 30 bulan untuk siap.
“Antara yang disediakan dalam projek itu kelak merangkumi kemudahan yang memberi manfaat kepada penduduk dan juga pelancong-pelancong yang berkunjung di pantai Belawai ini kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Sesi Dialog Cadangan Projek Pembangunan Pantai Belawai di Dewan Masyarakat Kampung Belawai pada Jumaat.
Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang pada masa sama menegaskan, empat konsultan telah pun dilantik bagi memastikan proses pembinaan projek terbabit dapat dilaksanakan mengikut jadual.
Jelasnya, projek terbabit dijangka bukan saja menjadi tarikan utama di kawasan Belawai bahkan turut memberi kesan positif terhadap penduduk di Lembah Rajang.
Justeru, beliau percaya dengan adanya kemudahan yang bakal disediakan menerusi projek itu kelak akan merancakkan lagi sosioekonomi setempat.






