ARTIKEL

Pantang menyerah kunci kejayaan Jonathan Witt

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Sikap pantang menyerah dan gemar bertanya menjadi kunci kejayaan Jonathan Witt Lee, 22, apabila dinobatkan sebagai penerima tunggal Anugerah Pengarah pada Majlis Konvokesyen Politeknik Mukah (PMU) 2025, hari ini.

Graduan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik itu mengakui pencapaian tersebut dicapai setelah menempuh pelbagai cabaran.

Menurutnya, ini termasuk membahagikan masa antara pembelajaran, tugasan dan aktiviti sepanjang tempoh pengajian.

“Syukur, walaupun terdapat cabaran untuk memperoleh pencapaian ini, saya sangat terharu dan berbangga dengan penghargaan yang diberikan ini.

“Terima kasih PMU atas pemilihan anugerah ini, ia merupakan hadiah terindah kepada saya dan keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.

Sehubungan itu, beliau turut memberitahu bahawa doa serta restu ibu bapa merupakan rahsia kejayaannya.

Jonathan, anak bongsu daripada dua beradik, dibesarkan dalam keluarga sederhana.

Bapanya, Lee Choung Tai, 51, seorang pesara tentera, manakala ibunya, Catherine Ganai, 48, merupakan suri rumah sepenuh masa.

Jonathan (tengah) merakam kenangan bersama-sama ibu bapanya ketika ditemui pemberita selepas majlis tersebut.

Menurut bapanya, sifat ingin tahu Jonathan yang suka bertanya sejak kecil menjadi faktor utama kejayaan yang diraih hari ini.

“Dia banyak bertanya. Kalau tidak tahu sesuatu, dia akan cari jawapan sampai jumpa. Itu yang membuatkan saya bangga,” katanya.

Sementara itu, Catherine pula menegaskan bahawa anaknya tidak pernah mengenal erti berputus asa.

“Kalau ada kesukaran, dia akan berusaha menyelesaikannya. Dia tidak akan berhenti sehingga menemui jawapan,” ujarnya.

Jonathan kini berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana bagi memperkukuh ilmu serta menambah nilai dalam bidang diceburinya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU