Pantau anak bermain air

DARO: Situasi banjir di Kampung Pangtray tidak membimbangkan, kata Ketua Kampung Jubli Ngok.

Beliau berkata, paras air naik di kawasan hulu kampung termasuk jalan Sekolah Kebangsaan (SK) Pangtray adalah fenomena biasa dan kerap berlaku selepas hujan lebat.

Katanya, ia berpunca daripada peningkatan paras air sungai Pangtray berikutan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu.

“Setakat ini keadaan masih terkawal tidak membahayakan. Kawasan itu memang kerap dinaiki air sejak dahulu lagi. Kita percaya kejadian ini berpunca daripada air sungai yang bertakung.

“Sementara itu, operasi sebuah sekolah di kawasan tersebut juga masih berjalan seperti biasa. Begitu pun, saya berharap pihak berwajib mengambil pendekatan tertentu bagi memastikan masalah ini tidak berulang,” katanya kepada Suara Sarawak.

Sementara itu, Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Daro, Satar Smawi berkata, hujan lebat menyebabkan jalan di kawasan kampung hulu Pangtray dinaiki air sehingga pada paras 0.76 meter, semalam.

Bagaimana pun setakat ini katanya, ia belum mencecah paras 1.2 meter.

“Keadaan ini adalah perkara biasa berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu selain peruba-han angin monsun,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, PBS akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan tidak ber-tambah buruk.

“Saya juga ingin menasihatkan ibu bapa agar jangan membiarkan anak-anak terutama yang masih kecil bermain air bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

“Pada masa yang sama, penduduk juga boleh memaklumkan perkembangan terkini kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Daro atau pemimpin masyarakat setempat, ” tambahnya.