KUCHING: Inisiatif kreatif Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) menghiasi 16 bumbung perahu penambang di Sungai Sarawak dengan bait pantun bertemakan perpaduan dan nasihat dapat menyumbang kepada pemeliharaan warisan budaya.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usaha itu menjadikan perahu penambang bukan sahaja sebagai medium pengangkutan pelancong, tetapi bertukar menjadi platform bergerak yang membawa warisan bangsa.

Katanya, dengan usaha ini golongan muda, pelancong dari dalam dan luar negara serta masyarakat umum berpeluang melihat, membaca, menjiwai serta menghargai pantun dalam suasana santai tetapi sarat dengan nilai.
“Ini adalah contoh bagaimana syarikat korporat bukan sahaja berbakti kepada komuniti, tetapi turut menyumbang kepada pemeliharaan budaya dan identiti bangsa.
“Justeru, saya percaya usaha sebegini akan meninggalkan kesan lebih mendalam kerana warisan yang kita pertahankan hari ini akan menjadi harta tidak ternilai untuk generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Warisan Pintar Kuching Lama (OKSHE), Datuk Dr Sabariah Putit ketika merasmikan Siri Pantun Bintulu Port di English Tea House, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Karim juga menyeru agensi kerajaan, syarikat korporat dan organisasi lain untuk mencontohi langkah ini dengan menzahirkan sokongan kepada warisan dan budaya bangsa sama ada melalui seni, bahasa, muzik, tarian atau tradisi masyarakat.
“Ini penting kerana kita tidak boleh membiarkan warisan luput begitu sahaja, apatah lagi dalam dunia moden yang mudah lupa akan akar umbi tradisi kita.
“Menerusi inisiatif ini juga, ia membuktikan bahawa warisan bukan sekadar boleh dipelihara, tetapi juga boleh dihidupkan dengan cara kreatif, segar dan relevan dengan masyarakat hari ini,” ujarnya.
Abdul Karim memberitahu, beliau berharap agar usaha ini menjadi permulaan kepada lebih banyak program budaya yang inklusif dan memberi impak positif kepada komuniti.

Terdahulu, beliau memaklumkan pantun adalah khazanah agung bangsa Melayu dan bukan sekadar seni berbahasa, tetapi lambang kecerdikan, kehalusan budi dan warisan yang diwariskan turun-temurun sejak ratusan tahun.
“Pantun juga sudah diiktiraf UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Dunia, namun apa yang lebih penting kita sendiri mempunyai tanggungjawab memastikan pantun terus hidup dalam kehidupan masyarakat seharian,” tegasnya.

