ARTIKEL

PAPAN PINTAR perkasa pendidikan

FARIHAN RAZALI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Perubahan dalam dunia pendidikan hari ini berlaku begitu pantas.

Jika dahulu papan hitam dan kapur menjadi nadi utama sesi pengajaran di bilik darjah, kini teknologi semakin mengambil tempat sebagai medium yang memperkaya pengalaman pembelajaran.

Perkembangan ini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan bagi memastikan sistem pendidikan terus relevan dengan tuntutan semasa.

Kehadiran papan pintar interaktif di sekolah merupakan antara contoh bagaimana teknologi dimanfaatkan untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.

ADUN Tellian, Royston Valentine ketika menyerahkan sumbangan papan pintar interaktif kepada SJKC Chong Boon dan SK Kampung Petanak, baru-baru ini.

Peralatan ini bukan sekadar menggantikan papan putih atau projektor, malah mengubah keseluruhan pendekatan pembelajaran supaya lebih interaktif, kreatif dan berpusatkan murid.

Tidak dapat dinafikan generasi hari ini membesar dalam dunia digital. Mereka lebih mudah memahami sesuatu konsep melalui visual, animasi, video dan aktiviti yang melibatkan interaksi secara langsung.

Disebabkan itu, penggunaan papan pintar interaktif mampu menjadikan proses pembelajaran lebih menarik berbanding kaedah konvensional.

Sehubungan itu, guru juga memperoleh manfaat yang besar. Dengan hanya beberapa sentuhan pada skrin, bahan pengajaran boleh dipaparkan dalam pelbagai bentuk seperti gambar, video, peta minda, simulasi dan permainan pendidikan.

Keadaan ini tentunya membantu guru menyampaikan isi pelajaran dengan lebih jelas dan berkesan.

Lebih menarik, papan pintar interaktif membolehkan murid turut mengambil bahagian dalam sesi pembelajaran.

Mereka boleh menulis, melukis, menyusun jawapan atau menyelesaikan latihan secara terus pada skrin.

Pelibatan aktif seperti ini menjadikan suasana pembelajaran lebih hidup dan menyeronokkan.

Dalam era ledakan maklumat, murid bukan lagi hanya mendengar penerangan guru.

Mereka perlu didorong untuk berfikir, berbincang, menyelesaikan masalah dan menghasilkan idea baharu.

Teknologi seperti papan pintar interaktif membuka ruang kepada pendekatan pembelajaran yang lebih dinamik.

Namun begitu,secanggih mana teknologi, tetap tidak akan memberikan manfaat sekiranya tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Kemahiran guru mengendalikan peralatan tersebut menjadi faktor penting dalam memastikan pelaburan yang dibuat benar-benar memberikan impak kepada pembelajaran murid.

Oleh itu, latihan secara berterusan kepada warga pendidik perlu diberikan perhatian.

Guru perlu didedahkan kepada pelbagai aplikasi dan kaedah penggunaan papan pintar interaktif supaya mereka lebih yakin serta kreatif ketika mengendalikan sesi pengajaran.

Pada masa sama, pihak sekolah juga perlu memastikan aspek penyelenggaraan tidak dipandang ringan.

Peralatan teknologi memerlukan penjagaan yang sistematik agar sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa.

Di luar bandar, penyediaan papan pintar interaktif mempunyai nilai yang lebih besar kerana mampu merapatkan jurang pendidikan antara sekolah di bandar dengan sekolah di pedalaman.

Murid di kawasan luar bandar juga berhak menikmati pengalaman pembelajaran yang setanding dengan rakan mereka di kawasan lain.

Hakikatnya, pendidikan berkualiti tidak seharusnya bergantung pada lokasi sesebuah sekolah.

Peluang mengakses teknologi moden perlu diberikan secara lebih menyeluruh agar setiap murid mempunyai ruang yang sama untuk mengembangkan potensi diri.

Dalam konteks Sarawak yang mempunyai kawasan geografi yang luas, penyediaan kemudahan teknologi pendidikan merupakan satu pelaburan jangka panjang yang wajar diteruskan.

Langkah ini bukan sahaja membantu meningkatkan keberkesanan pembelajaran, malah mampu melahirkan generasi yang lebih celik teknologi.

Lebih penting, papan pintar interaktif tidak sepatutnya dilihat sebagai simbol kemodenan semata-mata.

Nilai sebenar peralatan ini terletak pada cara ia digunakan untuk meningkatkan kefahaman murid, menggalakkan kreativiti dan memupuk minat terhadap pembelajaran.

Sudah tentu masih terdapat cabaran seperti capaian Internet, bekalan elektrik yang stabil dan kos penyelenggaraan.

Namun, semua itu tidak seharusnya menjadi alasan untuk memperlahankan usaha memperkasakan pendidikan digital di negara ini.

Justeru, setiap usaha menyediakan papan pintar interaktif di sekolah wajar disambut baik oleh semua pihak.

Hal ini demikian kerana usaha tersebut bukan sekadar sumbangan berbentuk peralatan, sebaliknya pelaburan terhadap masa depan pendidikan negara.

BERITA LAIN

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU

Empat maut padam kebakaran hutan Bromo

JAKARTA: Empat orang maut manakala dua lagi melecur teruk selepas terperangkap dalam asap tebal dan api yang merebak dengan pantas ketika berusaha memadamkan kebakaran hutan

Tubi Mbos khazanah kulinari Bidayuh

TUBI mbos merupakan warisan kulinari masyarakat Bidayuh Biatah di Kampung Pain Bojong yang lahir daripada kearifan tempatan sebagai bekalan makanan mesra alam untuk penduduk ke