KUCHING: Imbuhan wang tunai RM45,000 menanti pelari handalan Sarawak, Filemon Lirong Dionisus, 29 ekoran kejayaannya memenangi tiga pingat emas.
Beliau meraih pingat emas dalam acara 100, 200 dan 400 meter (m) lelaki kategori T11 pada temasya Para SUKMA XXI 2024.
“Memang cukup gembira dengan kejayaan beroleh tiga pingat emas pada temasya kali ini.
“Pingat ini untuk seluruh rakyat Sarawak,” ujar Filemon ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah sebentar tadi.
Beliau akui hanya menyasarkan dua pingat emas dalam acara kegemaran, iaitu 100 dan 200m.
Filemon menyifatkan kejayaan meraih emas ketiga dalam acara 400m sebagai bonus.
“Apa pun, saya berharap kejayaan meraih pingat emas ini akan dapat mencetus semangat kepada rakan-rakan yang lain selepas ini,” tambahnya.



