ARTIKEL

Abdul Karim (tujuh kanan) dan Fatimah (tengah) dan anggota rombongan lain bergambar bersama delegasi Wilayah Persekutuan.

Para SUKMA XXI 2024: Pindaan peraturan pastikan acara dipertandingkan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Penganjuran semua 361 acara pada temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024 akan tetap diteruskan walaupun berlaku penarikan diri atlet pada saat akhir.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah berkata, ia selepas Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) meminda peraturan pendaftaran negeri dalam acara yang dipertandingkan.

Katanya, pindaan terkini menetapkan hanya dua negeri dan empat atlet diperlukan untuk membolehkan acara yang dipertandingkan diteruskan.

Sebelum ini, setiap acara memerlukan penyertaan minimum sekurang-kurangnya tiga negeri dan tiga atlet untuk membolehkan acara terbabit dipertandingkan.

“Ini diputuskan pada Mesyuarat Tertinggi Para SUKMA yang diadakan pada 8 November 2023.

“Jadi, mana-mana penarikan diri atlet tidak akan membatalkan penganjuran acara, ia akan tetap diteruskan, kecuali dari segi penganugerahan pingat, ia akan dikurangkan satu (pingat),” kata Fatimah.

Beliau berkata demikian semasa kunjungan hormat delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 terhadap Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa di Menara Seri Wilayah, Putrajaya semalam.

Delegasi Sarawak diketuai Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak yang juga Pengerusi Pengelola SUKMA XXI, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Fatimah sekali lagi menekankan pentingnya untuk setiap negeri yang mengambil bahagian pada temasya kali ini untuk melakukan pengkelasan atlet dengan betul sebelum datang ke Sarawak bagi memastikan atlet mereka dibenarkan bertanding.

Ujarnya, ia penting bagi mengelakkan kerugian ditanggung negeri terbabit sekiranya atlet mereka tidak dibenarkan bertanding selain mengundang rasa kecewa para atlet itu sendiri.

“Para SUKMA adalah untuk atlet Orang Kelainan Upaya (OKU) dan bagi mereka ini, sukan adalah sangat penting.

“Ia adalah jalan untuk mereka memperkasakan diri iaitu yang pertama sebagai kerjaya, dan keduanya untuk meningkatkan keyakinan diri,” tambahnya.

Beliau menyatakan, seramai 1,528 atlet dan 788 pegawai akan terlibat dalam Para SUKMA kali ini.

Kunjungan hormat delegasi SUKMA dan Para SUKMA XXI Sarawak 2024 ke Semenanjung bermula pada 22 April lalu di 12 buah negeri, termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

BERITA LAIN

Empat sayap PBB Tebedu pilih Simon calon GPS

KUCHING: Empat sayap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Tebedu sebulat suara menyokong Dr Simon Sinang Bada dicalonkan semula sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS)

Ba’Kelalan berpotensi jadi destinasi pelancongan unik

KUCHING: Keunikan budaya, kraftangan dan hasil tempatan menjadikan Ba’Kelalan berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan baharu yang menarik di Sarawak. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk

BERITA TERBARU

Empat sayap PBB Tebedu pilih Simon calon GPS

KUCHING: Empat sayap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Tebedu sebulat suara menyokong Dr Simon Sinang Bada dicalonkan semula sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS)