Parang Gedong ke Amerika

GEDONG menjadi sebutan masyarakat luar negara apabila sebuah keluarga dari Virginia, Amerika Syarikat datang ke kawasan ini semata-mata untuk membeli parang yang dihasilkan oleh Raduan Buji.
Difahamkan keluarga berkenaan telah lama mencari parang yang dihasilkan secara tradisi atau manual.
Kerana minat terhadap parang, warga Virginia itu menjelajah ke beberapa negara di Asia Tenggara termasuk, Malaysia.
Sambil melancong dan bertemu dengan kenalannya di negara ini, warga Amerika itu turut mencari parang untuk dijadikan oleh-oleh.
Secara kebetulan, warga Virginia itu bertemu dengan seorang penduduk tempatan di Sarawak yang prihatin ketika pelawat itu berkunjung ke Serian suatu ketika dahulu.

Semasa pertemuan itu pelawat berkenaan bertanya tempat untuk membeli parang buatan tangan secara tradisi di Sarawak.
Penduduk tempatan itu terus membawa warga Virginia itu ke Gedong dan bertemu dengan Raduan di kediamannya di Kampung Kanchong Jaya.
Raduan yang ditemui di kediamannya terkejut apabila warga Virginia bersama-sama beberapa penduduk tempatan datang ke rumahnya untuk menempah parang.
Beliau berkali-kali menyatakan yang dia berminat untuk memiliki parang buatan tempatan di Malaysia yang dihasilkan secara tradisional.
Produk parang yang dibuat secara tradisi ialah dengan membakar besi yang dijadikan parang, pisau, keris dan seumpamanya di dapur arang dengan suhu panas menggelegak.
Manakala bagi menjamin api terus menyala dengan suhu yang ditetapkan ia ditiup dengan blower elektrik.
Setelah besi berkenaan berwarna kemerah-merahan dan lembut, ia diangkat dari dapur dan ditempa dengan alat pengetuk bagi membentuk ukiran parang yang dikehendaki pelanggan.
Kerja membakar besi ini dilakukan beberapa kali sehingga besi yang ditempa itu menjadi produk parang atau pisau seperti dikehendaki.
Raduan, 49, merupakan pesara tentera setelah 23 tahun berkhidmat, dan bersara wajib pada 2014.
Pada mulanya aktiviti membuat parang hanya minat untuk mengisi masa lapang.
Namun setelah mendapat permintaan tinggi, Raduan menjadikan ia sebagai kerjaya.
Beliau mengusaha parang di belakang rumahnya dengan membina serambi kecil.
Raduan yang turut aktif berbasikal bersama Gedong Cycling Group kini mempunyai lima orang anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan hasil perkongsian hidupnya dengan isteri tersayang.
Ketika wawancara ini diadakan, Raduan turut dikunjungi oleh Adun N.26 Gedong yang juga Menteri Muda Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais.
Sebagai dorongan dan galakan kepada perusahaan Raduan, Naroden turut menempah sebilah parang daripada Raduan untuk dijadikan bahan hiasan di rumahnya.
Raduan bukan sahaja mahir dalam membuat bentuk dan seni ukir parang serta hulu dan sarung, dia juga mahir mengukir nama pelanggan pada bilah parang berkenaan dengan menggunakan alat khas.
Oleh itu, parang yang ditempah oleh Naroden turut ditulis nama YB Datuk Mohd Naroden Majais.
Menjelaskan industri kecilnya membuat parang, Raduan memberitahu beliau telah mendapat permintaan daripada orang ramai dari dalam dan luar negara terutama dari Semenanjung.
“Bagaimanapun saya hanya membuat parang seperti bentuk yang diinginkan oleh pelanggan.
“Manakala bahan untuk membuat parang seperti besi dan logam serta kayu untuk membuat sarung dan hulu parang disediakan oleh pelanggan itu sendiri.
“Rata-rata pelanggan memahami jenis besi yang sesuai untuk dijadikan parang, namun jika mereka sukar untuk mendapat kayu yang sesuai untuk dijadikan sarung dan hulu, saya turut berusaha untuk menyediakan kayu berkenaan berdasarkan persetujuan pelanggan terbabit,” katanya.
Menurut Raduan, berikutan beliau mengusahakan parang atau alat-alat tajam secara tradisi atau manual dia hanya mampu menghasilkan sekurang-kurang sebilah parang dengan mengambil masa empat hingga lima hari.
Namun katanya, ia bergantung kepada jenis besi yang digunakan atau bentuk parang yang dikehendaki oleh pelanggan.
“Bagi menjamin kualiti parang, saya perlu membuatnya dengan penuh teliti sehingga perlu mengambil masa yang agak lama untuk disiapkan.
“Ini penting bagi memastikan parang yang dihasilkan memenuhi cita rasa setiap pelanggan,” katanya.
Harga bagi sebilah parang yang dihasilkan oleh Raduan ialah antara RM250 hingga lebih RM2,000 dan ia bergantung kepada jenis besi dan reka bentuk atau seni ukir yang dikehendaki oleh pelanggan.
“Sejak memulakan karier membuat parang beberapa tahun lalu, kebanyakan pelanggan amat berpuas hati dengan produk parang yang saya hasilkan.
“Sehingga kini saya hanya mempunyai promosi produk parang melalui media sosial dan bualan lisan daripada seorang kepada seorang yang lain,” katanya.
Ditanya bagaimanapun timbul minat dalam perusahaan membuat parang, Raduan memberitahu minat itu lahir sejak berkhidmat dalam angkatan tentera apabila melihat seorang rakan saya yang mampu menghasilkan beberapa bilah parang, pisau dan keris dengan baik dan berkualiti.
Sejak itulah saya belajar dengan rakan saya ini tentang cara membuat parang.
“Setelah mencuba dan beberapa kali gagal, maka saya kini mampu menghasilkan produk parang dengan cara dan seni ukir saya sendiri.
“Saya juga amat berterima kasih kepada semua rakan dan keluarga terutama Datuk Mohd Naroden kerana banyak memberi dorongan dan galakan kepada saya untuk maju lebih ke depan lagi dalam industri yang agak mencabar ini,” katanya.