SELANGAU: Paras air di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Selangau didapati berada pada anggaran tiga hingga lima kaki di beberapa bahagian sekolah, dengan trend air dilaporkan masih meningkat setakat waktu pemantauan dijalankan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Selangau Lt. (PA) Luke Douglas Dongum berkata, pemantauan dilakukan bermula sekitar jam 11.55 pagi dan berakhir pada 12.58 tengah hari bagi menilai tahap kenaikan air di kawasan sekolah yang dikenal pasti sebagai kawasan rendah.


“Hasil tinjauan mendapati genangan air telah menjejaskan beberapa struktur bangunan sekolah, namun keadaan keseluruhan di lokasi masih terkawal dan tidak menimbulkan ancaman serius buat masa ini,” katanya.
Bagaimanapun, tambah Luke, operasi sekolah tidak terjejas memandangkan SK Nanga Selangau masih dalam tempoh cuti persekolahan ketika ini.


Pemantauan tersebut, katanya, dilaksanakan oleh tiga anggota APM Selangau dengan menggunakan sebuah bot lengkap bersama peralatan keselamatan dan pengukuran paras air bagi memastikan penilaian dapat dibuat dengan tepat.
“APM Selangau akan terus memantau perkembangan paras air dari semasa ke semasa dan bersedia untuk mengambil tindakan lanjut sekiranya situasi bertambah buruk,” katanya.










