MESKIPUN gagal dalam setiap percubaan PRN Sarawak mulai 2001, PAS tidak pernah menyerah kalah.
Parti Islam yang berpangkalan di Semenanjung itu tetap terus bertanding dan menyimpan harapan tinggi untuk mendapat anak sulung di Sarawak – kini satu-satunya negeri yang PAS gagal memenangi sebarang kerusi.
Dalam PRN Sabah pada tahun lepas, PAS menang satu kerusi di Karambunai melalui Aliakbar Gullasan, sekali gus memberi semangat dan keyakinan kepadanya untuk mencuba lagi.
Ya, manalah tahu akan ada cahaya di hujung terowong?
Dalam PRN Sarawak pada 2001, PAS tewas di ketiga-tiga kerusi yang ditandinginya.
Selepas mengalami kekalahan tersebut, PAS bagai sedar diri dan hanya bertanding di satu kerusi di Beting Maro pada PRN 2006. Di kerusi berkenaan, PAS hanya tewas dengan 895 undi.
Calon PAS Alem Din berjaya mendapat 40.47 peratus undi menentang Bolhassan Di, calon BN (PBB), penyandang kerusi berkenaan. Pada PRN 2011, PAS hanya bertanding lima kerusi, dan kalah kesemuanya.
Namun, pada PRN 2016, PAS bertanding di 11 kerusi. Ini merupakan jumlah tertinggi pernah ditandinginya ketika parti pembangkang lain seperti DAP bertanding di 40 kerusi, PKR (30), Amanah (13), dan STAR (11). Seperti dijangka, PAS kecundang di semua kerusi itu.
Maka, bagai hilang semangat, dalam PRN Sarawak pada 18 Disember 2021, PAS hanya bertanding di satu kerusi, sama seperti ketika ia mula bertanding sekitar 25 tahun sebelumnya.
PAS sekali lagi mempertaruhkan ayam tambatannya di Beting Maro, mungkin masih meletakkan harapan tinggi untuk mendapat anak sulung, susulan pencapaian yang memberangsangkan sebelum itu.
Dalam PRN ke-12 itu, GPS – yang keluar daripada BN selepas kekalahan BN dalam PRU 2018 – menang besar dengan meraih 76 kerusi daripada 82 kerusi yang ditandingi.
PSB menang empat kerusi manakala PH menang dua kerusi. Jumlah calon yang bertanding 349, empat daripada GPS, tiga daripada Pakatan Harapan, iaitu PKR 28 calon, DAP 26 calon dan Amanah lapan calon.
Kendatipun hanya bertanding satu kerusi, keputusan PAS di Beting Maro tidak boleh dianggap terlalu lemah.
Dalam pertandingan lima penjuru itu, calon PAS memperoleh sekitar 28.18 peratus undi.
Peratusan ini memperlihatkan bahawa parti tersebut memiliki sokongan asas yang dianggapnya tidak kecil, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu-Muslim di kawasan pesisir Sarawak.
Prestasi berkenaan masih belum memadai untuk menyaingi kekuatan parti tempatan yang lebih berakar umbi dan memiliki jentera politik yang lebih luas dan sukar digugat oleh PAS.
PAS masih berdepan kesukaran untuk memberi impak membanggakan di Sarawak.
Selagi PAS melekat dengan imej dan reputasi negatif khususnya dalam kalangan pengundi Sarawak, selagi itulah sebenarnya ia bagai mendaki Gunung Everest untuk menyebarkan sayapnya.
Dalam PRN akan datang yang dijangka sekitar akhir November atau awal Disember tahun ini, PAS berhasrat bertanding di sekurangkurangnya empat kerusi, tentunya termasuk di Beting Maro yang menjadi idamannya.
Hakikatnya, penyertaan PAS dalam PRN Sarawak menunjukkan trajektori yang agak mencabar sejak parti itu mula mencuba nasib pada 2001.
Akuilah bahawa kehadirannya di Sarawak masih terbatas dan belum berjaya menembusi dominasi parti-parti tempatan.
Cabaran utama PAS di Sarawak ialah faktor demografi dan budaya politik tempatan.
Berbeza dengan negeri-negeri di Pantai Timur dan Utara Semenanjung yang mempunyai majoriti Melayu-Muslim, Sarawak mempunyai komposisi etnik yang sangat pelbagai. PAS kini menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Selain masyarakat Melayu dan Melanau, terdapat juga kelompok besar masyarakat Iban, Bidayuh, dan kaum-kaum peribumi lain yang memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan pilihan raya.
Parti tempatan yang menganggotai GPS mempunyai kelebihan kerana dianggap lebih memahami aspirasi pembangunan negeri dan identiti politik Sarawak.
Hasrat parti itu untuk bertanding di sekurang-kurangnya empat kerusi dalam PRN Sarawak akan datang menunjukkan pendekatan yang berhati-hati, dan bagi pemerhati — ketidakyakinan parti itu.
Mengapakah parti itu tidak bertanding dalam jumlah yang besar seperti sebelumnya?
Adakah ia bersikap realistik? Adakah parti itu tidak mempunyai sumber yang mencukupi?
Atau, ia bersikap ukur baju di badan sendiri.
Strategi ini boleh ditafsirkan sebagai usaha menguji tahap sokongan sebenar di beberapa kawasan majoriti Melayu atau kawasan yang mempunyai kecenderungan pengundi Islam yang lebih tinggi.
PAS sekadar mahu menghantar mesej bahawa parti itu masih wujud di Sarawak.
PAS sering dikaitkan dengan politik di Semenanjung. Kedudukannya di Sarawak masih lemah.
Saya percaya dalam kalangan pemimpin PAS, mereka percaya sukar untuk PAS memenangi sebarang kerusi dalam PRN Sarawak akan datang.
Namun, sesuai dengan semangat dan amalan demokrasi, parti Islam itu tidak mudah menyerah kalah, sebelum masuk ke gelanggang untuk menguji kekuatannya.
Bagi PAS, biar putih tulang, jangan putih mata. Politik negeri ini sejak sekian lama didominasi oleh parti-parti tempatan yang memahami keperluan dan aspirasi masyarakat tempatan. GPS mempunyai dukungan akar umbi yang sangat kuat di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Pengundi di Sarawak juga cenderung menyokong parti tempatan yang dianggap lebih memperjuangkan autonomi negeri berbanding parti dari Semenanjung.
Asas perjuangan GPS dengan slogan ‘Utamakan Sarawak’ berjaya menambat hati rakyat Sarawak.
Ya, lebih-lebih lagi dengan lebih 130 inisiatif prorakyat yang diperkenalkan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Kedudukan GPS ketika ini, secara objektif dan realistik, sukar digugat manamana parti lain. Perlu diakui sejujurnya, PAS tidak mempunyai rangkaian organisasi yang besar di Sarawak seperti yang dimilikinya di negerinegeri seperti Kelantan atau Terengganu. Jentera parti itu lemah.
Kekurangan cawangan aktif menyukarkan parti tersebut untuk bergerak dan menjalankan kempen yang berkesan. Calon PAS di Sarawak tidak begitu dikenali oleh pengundi tempatan.
Tanpa tokoh tempatan yang berpengaruh atau rekod perkhidmatan yang kuat di kawasan tersebut, sukar bagi calon parti itu untuk meyakinkan pengundi supaya memberikan sokongan.
Akan lebih sukar lagi bagi calon PAS untuk menentang calon penyandang GPS yang mempunyai rekod baik dan dikenali oleh pengundi di kawasan terbabit.
Mungkinkah sekali lagi, kali ini PAS turun ke gelanggang dengan kesedaran akan tewas di semua kerusi yang ditandinginya?
Atau satu kejutan seperti di Sabah akan berlaku?
PAS sebenarnya masih menyimpan harapan tinggi untuk mendapat anak sulung di Sarawak.

