PAS Sarawak yakin inisiatif terbaharu mampu perkasa ekonomi, rakyat

KUCHING:  Inisiatif diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) diyakini dapat memperkasakan rakyat dan mengembalikan ekonomi negara yang terjejas akibat Covid-19.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak, Muhtar Suhaili berkata, pengumuman tersebut turut dilihat PAS Sarawak sebagai sangat membantu pelbagai sektor untuk membangun semula hasil rangsangan yang holistik dalam menjana kembali negara ini.

Antaranya menurut beliau, pemberian kredit RM50 e-Dompet bermula Julai ini kepada rakyat berpendapatan bawah RM100,000 setahun bukan sahaja menggembirakan penerima, tetapi merancakkan segmen jualan atas talian.

Katanya, hal tersebut akan menggalakkan penerima berpendapatan rendah berbelanja disamping pelbagai kegiatan berkaitan ekonomi dapat dipulihkan kembali termasuk ke atas Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan sebagainya.

Selain bantuan juga telah didahului menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), beliau turut memuji pelepasan cukai diumumkan kerajaan yang pastinya membantu sektor-sektor lain termasuk pendidikan untuk beroperasi semula.

“Mudah-mudahan supaya rakyat dapat melihat betapa prihatinnya kerajaan yang ada hari ini. Saya yakin dan percaya bahawasanya rakyat hari ini menyokong penuh Perdana Menteri yang mengemudi negara dengan baik,” katanya seperti dipetik Harakah Daily.

“Khususnya dalam menyelesaikan, dalam mengawal pandemik COVID-19 daripada terus lebih teruk lagi di dalam negara kita ini dan diiktiraf antara negara yang berjaya mengawal pandemik ini di mana diiktiraf antara yang terbaik di dunia ini,” jelas beliau.

“Daripada yang dulunya telah mempunyai statistik yang tinggi, tapi hari ini antara negara yang paling selamat di atas dunia.

“Jadi PAS Sarawak menyeru supaya semua rakyat memberi sokongan penuh kepada Kerajaan Perikatan Nasional dalam melaksanakan agenda memperkasa rakyat dan membina negara Malaysia Sejahtera,” ujar Muhtar lagi.

Suara Sarawak