KUCHING: Lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di kawasan perumahan dan lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ pembuangan sampah di kawasan seliaan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).
Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata, pemasangan CCTV itu bukan sahaja membantu pihak berkuasa mengenal pasti individu yang membuang sampah secara sembarangan, malah meningkatkan tahap keselamatan dan rasa selamat penduduk khususnya di kawasan perumahan.
“CCTV bukan sahaja untuk mengesan pelaku tetapi juga membantu meningkatkan tahap keselamatan dan rasa selamat dalam kalangan penduduk khususnya di kawasan perumahan,” katanya katanya selepas sidang media tayangan percuma filem animasi pendek ‘Michiru’ sini, hari ini.
Bagaimanapun, penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi untuk menangani masalah pembuangan sampah kerana perubahan sikap masyarakat perlu bermula sejak usia muda termasuk menerusi pendidikan di sekolah.
Menurutnya, usaha mendidik masyarakat berkaitan kepentingan menjaga kebersihan memerlukan masa sebelum perubahan sikap dapat dilihat secara menyeluruh.
“Mungkin mengambil masa lima hingga 10 tahun untuk masyarakat benar-benar memahami, menerima dan mengubah pemikiran mereka, tetapi tidak pernah terlambat untuk bermula,” katanya.
Dalam usaha mengurangkan jumlah sisa yang dihantar untuk pelupusan, MBKS turut mengkaji kaedah memproses lebihan makanan untuk dijadikan baja.
Wee berkata, langkah pengurangan sisa akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kawasan selain menggalakkan masyarakat mengurangkan penghasilan sampah dan tidak bergantung sepenuhnya kepada penyediaan tong sampah oleh pihak berkuasa tempatan.
Dalam pada itu, MBKS turut memberi perhatian dalam masalah pembuangan sisa tanaman oleh pemilik rumah selepas kerja memotong rumput atau memangkas tanaman.
Beliau berkata, pemilik rumah bertanggungjawab mengumpulkan dan menguruskan sisa kebun dengan betul bukannya membuangnya di luar kawasan rumah dan menunggu pihak berkuasa tempatan menjalankan kerja pembersihan.

