Pasangan kekasih warga Afrika dalang ´Black Money´ ditahan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dan wanita warga Afrika ditahan kerana disyaki menjadi dalang sindiket penipuan ‘Black Money’ dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Taman Ria, Taman Gembira di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kedua-dua mereka yang merupakan bekas penuntut di negara ini menawarkan kaedah untuk mendapatkan wang dalam jumlah yang banyak dengan hanya bermodalkan RM10,000.

Beliau berkata kedua-dua mereka yang masing-masing berusia 36 dan 37 tahun itu ditahan dalam operasi kira-kira 6 petang.

“Pemeriksaan dalam premis menemui pelbagai peralatan termasuk sebotol cecair kimia, sebungkus serbuk putih dan 123 keping kertas mata wang asing yang disyaki palsu.

“Siasatan mendapati suspek menyasarkan mangsa di kawasan hotel, tepi jalan dan kawasan parkir dengan tawaran untuk mendapatkan wang dengan jumlah yang banyak,” kata Mazlan pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini semalam. – Bernama

Suara Sarawak