KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) tidak berkompromi dalam menguatkuasakan dasar toleransi sifar terhadap kecurian elektrik berikutan penemuan dua sambungan haram melibatkan dua cawangan pasar raya yang sama di Siburan dan Serian.
Menurut kenyataan media SEB, pasukan pemeriksa meter SESCO di Siburan menemui kabel torehan terus tersembunyi di atas siling, memintas meter elektrik dan membolehkan premis menarik kuasa secara haram dari talian bekalan utama.
“Cawangan pasar raya di Serian turut didapati mempunyai kabel torehan terus yang sama, tersembunyi di belakang papan tanda berhampiran setinggi lima kaki.
“Pemeriksaan di cawangan Siburan mendedahkan anggaran kerugian bulanan melebihi RM13,000 manakala di Serian sekitar RM6,800,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Jelasnya, laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 33(5) Ordinan Elektrik yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM200,000 atau penjara sehingga lima tahun.
Tegasnya, kecurian elektrik bukan sahaja menyalahi undang-undang malah menimbulkan risiko keselamatan yang tinggi.
“Sambungan tanpa kebenaran boleh menyebabkan renjatan elektrik, kebakaran, kerosakan pada peralatan elektrik dan kehilangan nyawa.
“Ia juga memberi tekanan tidak sepatutnya pada sistem kuasa hingga berpotensi mengganggu bekalan elektrik di premis berhampiran,” katanya lagi.
Dalam pada itu, bagi mengukuhkan keupayaan penguatkuasaan, pasukan pemeriksa meter SESCO menjalani latihan teknikal berterusan untuk mengesan kecurian elektrik yang semakin canggih.
Usaha tersebut disokong oleh pelaburan berterusan dalam teknologi pengesanan termaju dan sistem pemantauan masa nyata.
“SEB akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan khususnya di kawasan luar dan menggesa orang ramai melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan kecurian elektrik,” katanya.
Laporan boleh dibuat tanpa nama melalui perkhidmatan pelanggan Sarawak Energy di talian 1300-88-3111 atau melalui e-mel customercare@sarawakenergy.com


