Pasar raya utama jadi tumpuan

KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan memasuki fasa keempat minggu depan tidak menghalang orang ramai untuk terus berkunjung ke beberapa pasar raya utama di Metrocity, di sini.

Antaranya pasar raya Borneo, Golden Dragon, dan Emart Matang yang sentiasa menjadi tumpuan pelanggan.

Tinjauan di ketiga-tiga pasar raya itu mendapati kakitangannya sentiasa mengamalkan garis panduan kesihatan yang disarankan oleh pihak kerajaan.

Dapat diperhatikan, semua pasar raya ini menugaskan beberapa kakitangan di pintu masuk premis yang memeriksa suhu badan serta membuat semburan sanitasi tangan pelanggan yang mahu memasuki pasar raya itu.

Arahan mengenai larangan berdua-duaan ketika membeli barang dan mengehadkan pelanggan dalam premis turut diutamakan.

Pembantu jualan Emart Matang Afiqri Ali berkata, setiap hari semakin ramai pelanggan datang ke pasar raya itu untuk mendapatkan keperluan harian.

Katanya, pernah berlaku apabila pelanggan terpaksa berbaris hingga ke pintu masuk utama ke bangunan pasar raya berkenaan.

“Bagaimanapun, keadaan ini masih terkawal kerana pihak kami mengamalkan beberapa langkah keselamatan termasuk mengehadkan kemasukan pelanggan untuk membuat pembelian,” katanya kepada Suara Sarawak.

Sementara itu penyelia Golden Dragon Michelle Reginald James memberitahu, ada juga segelintir pelanggan yang tidak mengendahkan arahan yang ditetapkan ketika membeli-belah.

“Ada yang merungut apabila diminta berbaris sementara menunggu giliran untuk memasuki premis kami untuk membeli barang.

“Kami berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama kepada pasar raya kami untuk meringankan beban tugas petugas kami,” katanya.