SIMANGGANG: Amat penting institusi kemahiran seperti Sarawak Skills menawarkan program latihan yang dapat membantu belia atau pekerja meningkatkan tahap kompetensi setaraf kemajuan teknologi masa kini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, banyak peluang pekerjaan wujud daripada sektor pemangkin dasar ekonomi dan peluang perniagaan disasarkan di negeri ini menjelang 2030.
Bagaimanapun menurutnya, pasaran kerja dewasa ini mengharuskan tenaga kerja memiliki kemahiran pelbagai serta memenuhi keperluan terkini majikan.
“Justeru pekerja perlu menjadi lebih fleksibel, berinovatif dan beradaptasi.
“Sarawak Skills misalnya perlu untuk menawarkan program latihan yang dapat membantu belia atau pekerja dalam meningkatkan tahap kemahiran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pembukaan Sarawak Skills Sri Aman dan Majlis Penutupan Program Pembangunan Pemacu Komuniti di sini, hari ini.
Berita lanjut dalam epaper STSS.

