KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk memastikan industri getah Malaysia dapat memenuhi keperluan kemampanan antarabangsa selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB).
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kementeriannya bekerjasama dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk memulakan beberapa inisiatif pembangunan mampan dalam rantaian nilai industri.
Antara inisiatif tersebut ialah Kemampanan Getah Asli Malaysia (MSNR) yang membentuk asas kerangka kemampanan Malaysia bagi getah asli di bawah Akta Lembaga Getah Malaysia (Perbadanan) 1996.
“Dalam konteks ini, Malaysia terus meningkatkan kerjasama dengan negara pengeluar getah utama melalui platform antarabangsa, memastikan keduadua kos pengeluaran dan faktor kemampanan diambil kira dalam perdagangan getah.
“Ini penting dalam menangani isu berterusan ketidaktentuan harga getah global yang memberikan kesan terhadap pendapatan pekebun kecil getah,” katanya dalam ucapan beliau pada majlis Makan Malam Malaysian Rubber Exchange (MRE), di sini.
Dari segi kebolehcapaian dan pengembangan pasaran, Fadillah berkata kerajaan terus komited untuk menyediakan rangka kerja yang diperlukan dan sokongan ekosistem untuk industri meneroka pasaran baharu bagi getah dan produk getah.
“Saya yakin MRE terus memperjuangkan perdagangan dan industri getah Malaysia di peringkat global,” katanya.
Beliau berkata industri getah kekal sebagai asas kepada landskap perindustrian Malaysia kerana eksport industri getah Malaysia mencecah RM36 bilion, membentuk 2.3 peratus daripada jumlah pendapatan eksport pada 2022. – Bernama



