Pastikan isu air tidak jejaskan Gawai Raya

DEBAK: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Betong dirayu dan digesa untuk memastikan sejarah gangguan bekalan air pada musim perayaan tidak berulang tahun ini.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam memberitahu, JBALB perlu komited menoktahkan masalah ketiadaan bekalan air dihadapi penduduk di kawasan sekitar lebih-lebih lagi menjelang sambutan Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri.

“Seperti tahun sebelum ini, gangguan bekalan air sering berlaku kawasan sekitar Debak, Pusa dan Spaoh menyebabkan penduduk kampung termasuk rumah panjang merungut ekoran kesukaran menyediakan keperluan untuk sambutan perayaan.

“Penyelesaian isu ini harus diberikan keutamaan oleh JBALB kerana ia menimbulkan ketidakpuasan rakyat.

“Hal ini kerana air merupakan keperluan utama yang digunakan untuk aktiviti seharian termasuk menyediakan jamuan, membas-uh dan sebagainya,” katanya kepada Suara Sarawak.

Jelasnya, JBALB dikehendaki memastikan tiada masalah bekalan air sepanjang musim perayaan.

Perkara itu telah dibincangkan bersama-sama tuai rumah dan ketua kampung di Pejabat Daerah Kecil Debak, semalam.

Beliau melahirkan kebimbangan terhadap perkara berkenaan selepas akhir-akhir ini bekalan air sering terputus sehingga menyebabkan kegusaran bukan sahaja dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, JBALB perlu mencari alternatif terbaik sekiranya berlaku gangguan yang tidak dapat dielakkan.

“Kadang-kadang sedih melihat duduk terpaksa bersengkang mata menadah air tengah malam.

Pada musim tersebut penggunaan bekalan air meningkat berlipat kali ganda.

“Musim perayaan yang sepatutnya diraikan penuh kegembiraan, sebaliknya digunakan untuk mengangkut dan mendapatkan air… saya merayu noktahkanlah perkara tersebut.

“Kalau ada gangguan, selesaikan dengan kadar segera,” ujarnya.

Razi dalam pada itu turut menyentuh isu gangguan bekalan elektrik di kawasan Saribas.

Beliau turut mengharapkan perkara yang sama diambil perhatian oleh pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) supaya bekalan elektrik sentiasa ada.

Beliau menyumbang RM80,000 untuk program Gawai Raya melalui JKKK dan belia.

Sementara Kelab Rando Debak juga menerima RM15,000 hasil sumbanga Razi.