KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanakkanak komited dalam membantu penghuni Taman Seri Puteri (TSP) di Jalan Telaga Air, di sini.
Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah hadir ke TSP untuk memantau pematuhan SOP serta membincangkan pelbagai program dan aktiviti yang akan dijalankan.
TSP berfungsi sebagai tempat perlindungan bagi pemeliharaan dan pemulihan kanak-kanak yang terdedah kepada bahaya moral atau keruntuhan akhlak.
“Ahli Lembaga Pelawat TSP Kuching dianggotai oleh pelbagai pihak profesional, bersemangat untuk menjaga kesejahteraan kanak-kanak perempuan yang memerlukan kasih sayang, bimbingan dan keprihatinan.
“Mereka juga bertindak sebagai ibu angkat dan mempunyai sukarelawan. Selain bertanggungjawab menjaga kebajikan pelatih untuk mengawasi serta memantau keseluruhan prestasi, institusi dan sebagainya,” kata Fatimah dalam satu kenyataan, semalam.
Terdapat beberapa program dan aktiviti yang dicadangkan ketika mesyuarat diadakan seperti Pendidikan dan Latihan Biro Pendidikan, Kemahiran dan Kreativiti Pendidikan Program.
“Ia untuk menggalakkan pelajar menamatkan persekolahan sehingga peringkat SPM, membantu peserta memiliki kemahiran vokasional sebagai bekalan atau persediaan kehidupan masa depan dan membantu peserta tertentu menguasai 3M.
“Justeru, hasil yang diharapkan adalah pelatih berupaya meneruskan persekolahan serta tamat SPM dan sebagainya,” tegasnya.
Beliau menambah, pihaknya mahu mewujudkan pangkalan data peserta berkaitan tahap pendidikan, minat kerjaya dan jenis latihan yang diingini.
“Kita akan bekerja rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri, beberapa sekolah menengah untuk memastikan peserta dapat meneruskan persekolahan mereka.
“Ia juga termasuk dengan penglibatan beberapa agensi seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan banyak lagi,” jelasnya.
TSP mula dibina pada 2002 dan memulakan operasi pada 2005 dan pusat ini mempunyai 39 kakitangan dan memiliki 25 orang penghuni.