KUCHING: Pindaan Seksyen 11 dalam Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 membolehkan SEDC menubuhkan hab serantau bagi memastikan peluang ekonomi sampai kepada masyarakat luar bandar dan separa bandar.
ADUN Daro Dr Safiee Ahmad berkata, pindaan seksyen 11 itu amat penting khususnya bagi kawasan luar bandar dan separa bandar kerana secara jelas memberi kuasa kepada SEDC untuk menubuhkan pejabat atau agensi di mana-mana bahagian di Sarawak.
“Ini usaha untuk menjadikan SEDC sebagai agensi untuk seluruh Sarawak, bukan hanya tertumpu di ibu negeri, termasuk mengekalkan Program Pembangunan Usahawan sedia ada yang berperanan sebagai pemangkin kepada pembangunan keusahawanan, khususnya di luar bandar Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan RUU Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa Fasal 2 dan Fasal 7(b) rang undang-undang itu mencadangkan satu perubahan yang jauh lebih besar kerana menamakan semula ordinan secara rasmi kepada Sarawak Economic Development Corporation Ordinance.
“Kita secara formal menyelaraskan bahasa perundangan kita dengan jenama SEDC yang dikenali di peringkat antarabangsa, terutama apabila SEDC kini menjadi pemain utama.
“Dalam dunia kewangan berimpak tinggi dan usaha sama antarabangsa, keseragaman jenama ialah lambang kestabilan institusi.
“Pindaan ini memastikan bahawa apabila SEDC duduk semeja dengan rakan teknologi global di Tokyo, Oslo atau Dubai, asas perundangannya mencerminkan sebuah badan berkanun yang moden, korporat dan profesional,” jelasnya.
Menurutnya, Fasal 4 yang berhubung komposisi perbadanan turut memasukkan sains sebagai bidang kepakaran yang melayakkan seseorang menjadi ahli lembaga.
“Kita memerlukan saintis dan pakar teknikal dalam lembaga bagi menyediakan semak dan imbang yang diperlukan untuk perbelanjaan modal berteknologi tinggi,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memuji penggubalan Fasal 8 yang memperuntukkan peruntukan ‘simpanan’.
“Peruntukan ini memastikan semua kontrak sedia ada, hak milik tanah dan prosiding undang-undang yang sedang berjalan kekal sah.
“Kita sedang menukar enjin ketika kapal sedang belayar, namun rang undang-undang ini memastikan kapal tersebut tidak hilang arah,” katanya.
Beliau menambah, RUU itu tidak akan melibatkan kerajaan dalam sebarang perbelanjaan tambahan.
“Kita tidak meminta lebih banyak wang, kita meminta alat yang lebih baik. Kita sedang memperkemas tadbir urus dan meningkatkan kecekapan supaya dana yang diperuntukkan dapat digunakan dengan impak yang lebih besar,” tambahnya.
Ujarnya, RUU yang dilaksanakan memastikan jentera ekonomi utama iaitu SEDC dilengkapi dari segi perundangan dan struktur untuk memacu Sarawak menuju 2030.
“Visi abad ke-21 tidak boleh dilaksanakan dengan menggunakan kerangka perundangan abad ke-20.
“Ordinan utama bagi SEDC pada mulanya digubal pada 1958 dan tidak mengalami kemas kini substantif seperti ini sejak 1996.
“Dalam tempoh 30 tahun, dunia berubah dan hari ini, RUU ini memastikan SEDC dilengkapi dari segi perundangan dan struktur untuk memacu Sarawak menuju 2030,” tegasnya.

