KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah tidak menolak kemungkinan undang-undang baharu digubal pada masa akan datang bagi memastikan semua rumah inap di Sarawak didaftarkan secara sah.
Beliau berkata, setakat ini hanya 65 rumah inap yang didaftarkan secara rasmi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), sedangkan terdapat banyak lagi yang beroperasi secara tidak formal.
Menurutnya, kementerian di peringkat negeri tidak mendaftarkan rumah inap, sebaliknya membantu pengusaha melalui latihan dan panduan berkaitan hospitaliti bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.
“Saya tahu ada beratus-ratus rumah inap yang tidak berdaftar. Satu hari nanti, kerajaan mungkin akan menggubal undang-undang untuk mewajibkan pendaftaran.
“Pendaftaran dibuat oleh MOTAC. Kami hanya memantau dan menyediakan latihan kepada pengusaha dalam industri hospitaliti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Penulisan Homestay Odyssey 2025 anjuran DayakDaily di sebuah hotel di sini, hari ini.
Terdahulu, Abdul Karim mengucapkan tahniah kepada DayakDaily kerana menganjurkan pertandingan penulisan Homestay Odyssey yang disifatkannya sebagai pelengkap kepada usaha mempromosikan rumah inap di seluruh Sarawak.
Beliau memberitahu para peserta bahawa esei yang dihasilkan berjaya menggambarkan dengan jelas pengalaman rumah inap, daripada sajian makanan tempatan hinggalah persahabatan yang terjalin di antara tuan rumah dengan tetamu.




