KUCHING: Kelab Futsal Bawah 16 Tahun PFA Odin Sarawak melakar sejarah tersendiri meskipun sekadar berpuas hati selaku pemenang tempat kedua dalam Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2024.
Barisan kendalian Mohd Faizal Zamri tewas (2-0) ditangan Kuala Lumpur pada aksi final yang berlangsung di Futsal Hub Kuala Lumpur semalam.
Sekali gus, menyaksikan barisan pemain yang semakin digeruni kredibiliti mereka ketika ini membawa pulang wang tunai RM10,000 selain pingat dan beberapa hadiah iringan lain.
“Syukur walaupun sekadar berpuas hati di tempat kedua. Pemain telah berusaha memberikan yang terbaik sepanjang aksi final itu,” ujar Faizal kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Faizal, keletihan antara salah satu faktor kegagalan pasukannya untuk meraih gelaran utama (juara) pada saingan peringkat kebangsaan itu.
Apa pun kata Faizal, beliau secara peribadi berpuas hati dengan pencapaian diperoleh pemainnya dan menyifatkan ia merupakan pencapaian terbaik setakat ini.
“Pencapaian yang cukup hebat bagi pemain dan saya percaya pengalaman berharga telah diperoleh semua barisan pemain disebalik penampilan mereka dalam kejohanan itu,” tambah Faizal.



