LAWAS: Pasukan Krian Nenz Frenz A dari Kuching muncul juara Kejohanan Jaguh Lipat Takraw Seborneo Terbuka 2025 Piala Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang berlangsung selama tiga hari dari 28 hingga 30 November lalu.
Dalam aksi final yang sengit, Krian Nenz Frenz B turut dari Kuching muncul naib johan, manakala OSTC Sabah dan Miharbi Brunei Darussalam berkongsi tempat ketiga bersama.
Sementara itu, tempat kelima hingga kelapan disandang Sawadie, JJCM A, JJCM B dan Sundar City.
Selaku juara, Krian Nenz Frenz A membawa pulang wang tunai RM5,000, piala iringan dan pingat. Naib johan menerima RM3,000 beserta piala iringan dan pingat, manakala pemenang tempat ketiga bersama meraih RM1,500, piala dan pingat.
Pasukan yang mara ke suku akhir turut menerima imbuhan RM350 setiap pasukan.
Bagi anugerah individu, Iszuan Haroni dari Krian Frenz dipilih sebagai Jurulatih Terbaik, manakala Nazarini Zainal Abidin (OSTC) menerima anugerah Pengurus Terbaik.
Kategori pemain terbaik turut menyaksikan Zuhri Mohd Zain muncul Tekong Terbaik, sementara Azri Hanif dan Mohd Azli, masing-masing dari Krian Frenz A, memenangi anugerah Apit Kiri Terbaik dan Apit Kanan Terbaik. Setiap penerima anugerah individu menerima RM150.
Hadiah disampaikan Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong yang mewakili Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurut Abdul Kadir, sebanyak 24 pasukan dari Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam berentap merebut mahkota kejuaraan.
“Kejohanan ini bukan sahaja mencungkil bakat baharu dalam sukan sepak takraw, malah menjadi wadah eko-pelancongan sukan apabila ribuan penonton membanjiri arena sepanjang penganjuran.
“Kehadiran pengunjung tempatan dan luar membantu menggiatkan aktiviti Industri Kecil dan Sederhana (IKS) setempat,” katanya.
Beliau berkata, kejohanan itu turut menjadi platform terbaik memupuk semangat perpaduan selain mengangkat sepak takraw sebagai sukan pilihan generasi baharu di peringkat serantau dan antarabangsa.



