KUCHING: Dua lagi pingat masing-masing satu emas dan perak dihadiahkan oleh pasukan petanque Sarawak buat Bumi Kenyalang dalam kategori bertiga lelaki dan tiga campuran (satu lelaki dan dua wanita).
Pingat emas kelima pasukan petanque itu berjaya diraih menerusi acara bertiga lelaki yang diwakili Abdul Harith Oris, Aniq Ashraf Mohamad Hafizul dan Farid Amirul Muhamad.
Pasukan tuan rumah berjaya menewaskan Kelantan dengan mata 10-5 sekali gus menyaksikan Kelantan dinobatkan sebagai pemenang pingat perak, dan pasukan Johor memenangi gangsa.
Manakala, kejayaan pasukan petanque terus dilakar apabila acara tiga campuran menyaksikan Ain Afzan Aisyah Ezlan, Akhtar Shauqi Aini Mohd Dom dan Nur Durratul Sahira Yazit menghadiahkan pingat perak ketiga.
Sabah berjaya meraih pingat emas bagi acara itu selepas menewaskan Sarawak dengan mata 10-7, manakala Johor memperoleh pingat gangsa.
Untuk rekod, pasukan petanque telah menyumbangkan lima emas dan tiga perak kepada Sarawak dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-21 tahun ini.
Pasukan bimbingan Mohamad Ahir Binar dan Wan Deros Wan Badhi dua lagi kategori yang akan dipertandingkan iaitu berpasukan wanita dan lelaki. Acara ini juga akan berakhir pada 24 Ogos ini.



