Patuh keputusan kerajaan

SIBU: Rakyat seharusnya menerima dengan hati terbuka mengenai pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun ini seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

Adun Tamin Christopher Gira Sambang berkata, beliau memahami bahawa pengumuman itu mungkin bukan berita baik untuk sesetengah rakyat. “Tetapi keputusan untuk melanjutkan tempoh PKPB itu adalah atas nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa untuk membendung penularan wabak Covid-19.

“Apatah lagi dalam masa terdekat ini kita akan menyambut tiga perayaan terbesar iaitu Aidilfitri, Gawai dan Kaamatan. “Jika PKPB ini ditamatkan lebih awal, ramai yang akan balik ke kampung dan rumah panjang untuk meraikan bersama-sama ahli keluarga dan sanak-saudara yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, Gira menyambut baik lanjutan PKPB yang diumumkan oleh Muhyiddin semalam.

Beliau berkata, walaupun PKPB dilanjutkan, kerajaan telah membenarkan beberapa sektor ekonomi untuk beroperasi semula dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Oleh itu, saya menggesa orang ramai untuk mematuhi keputusan kerajaan ini dan sebarang pergerakan harus mengikuti SOP,” tambahnya.