KUCHING: Peraturan sedia ada sentiasa diguna pakai terhadap orang ramai semasa berada di bazar Ramadan sebagai langkah keselamatan memastikan langkah pencegahan COVID-19.
Timbalan Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) Wan Samsulri Wan Hasbi berkata, masyarakat perlu patuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh berkaitan perkara ini.
“Untuk itu, kita sentiasa menggalakkan orang ramai menggunakan pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga.
“Sekiranya ada perkara lain yang perlu diberi perhatian, ia diumumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bazar Ramadan Meditel di Hospital Umum Sarawak, hari ini.
Mengulas tentang bazar Ramadan siri ketiga yang dianjurkan dengan kerjasama HUS dan Persatuan Kebajikan Islam Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (PERKIP), beliau mendedahkan sebanyak 37 tapak jualan disediakan.

Menawarkan aneka juadah makanan dan minuman, bazar ini dibuka bertujuan memberi peluang kepada pengusaha lokal menjana pendapatan, sekali gus menyediakan kemudahan kepada kakitangan dan pesakit di HUS membeli juadah berbuka.
Wan Samsulri menegaskan bahawa makanan dan minuman yang disediakan sentiasa dipantau oleh pihak KKM.
“Para peniaga di sini dikehendaki mengikuti garis panduan yang telah dikeluarkan, pada masa sama KKM akan terus memantau untuk memastikan keberkesanan peraturan berkenaan,” katanya ringkas.
PETROS LPS Gastech Engineering Sdn bhd telah menaja apron kepada semua peniaga di bazar tersebut.





