PENCETAK gol pasukan Serian, Paul Sambang kini masih kekal berada di kedudukan teratas selaku penjaring terbanyak dengan 22 gol bagi kempen Liga Premier Sarawak 2025.
Pencapaian tersebut bukan sahaja mengangkat reputasinya sebagai tonggak utama pasukan, malah turut membuktikan sentuhan penyudahnya masih berbisa walaupun berdepan saingan kompetitif daripada pasukan lain dalam liga tersebut.
Statistik itu sekali gus memperlihatkan kredibiliti dan ketajaman Paul ketika berada di dalam kawasan penalti, lebih-lebih lagi apabila mengambil kira kebolehannya yang sering kali mencatatkan jaringan hatrik pada setiap perlawanan yang diharungi sepanjang saingan peringkat Zon Selatan sebelum ini.
Rekod itu sekali lagi memberi gambaran jelas bahawa dirinya bukan sekadar penyerang biasa, tetapi seorang pemain yang mempunyai naluri penjaring gol yang sangat tinggi.
“Sedikit teruja apabila dapat berada di kedudukan teratas selaku penjaring terbanyak pada saingan kali ini.
“Bagaimanapun, saya ingin merakam ucapan terima kasih kepada rakan-rakan kerana kerjasama berpasukan selama ini menjadi penyumbang utama kecemerlangan diri saya,” ujar Paul kepada Arena Suara Sarawak sambil menegaskan bahawa kejayaan individu tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan penuh daripada rakan sepasukan.
Menurutnya, peranan jurulatih dan pihak pengurusan juga amat signifikan dalam pembentukan prestasi cemerlangnya ketika ini.
Beliau turut berterima kasih kepada barisan kejurulatihan yang sentiasa memberi peluang kepada dirinya untuk beraksi dalam kebanyakan perlawanan.
Paul berkata, rekod selaku penjaring terbanyak yang dipegang ketika ini diharap dapat menjadi pembakar semangat untuk terus meningkatkan prestasi pada perlawanan mendatang.
Pasukan Serian kini merupakan juara Zon Selatan selepas berjaya mengumpul 31 mata setakat ini.
Kejayaan itu memberi laluan kepada mereka untuk mara ke peringkat suku akhir, sekali gus menambah motivasi buat seluruh pemain dan barisan kejurulatihan untuk meneruskan misi menjejakkan kaki ke separuh akhir dan kemudiannya pentas akhir.
Dengan penuh harapan dan keyakinan, Paul kini bersedia memberikan persembahan terbaik dalam baki perlawanan.
Misi peribadinya bukan sekadar untuk mengekalkan status sebagai penjaring terbanyak, tetapi juga bagi membantu Serian mara sejauh mungkin dalam Liga Premier Sarawak 2025, termasuk membawa pulang kejuaraan yang amat dinantikan.





