BARCELONA: Pelancaran Pavillion Sarawak di Kongres Mudah Alih Sedunia (MWC) Barcelona 2025 menjadi bukti kesediaan Kerajaan Sarawak untuk berkolaborasi, berinovasi dan berkembang bersama rakan kongsi globalnya.
Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia turut menekankan komitmen Sarawak membina ekonomi digital yang berkembang maju.
Di samping memperluas inisiatif tenaga boleh diperbaharui dan menggalakkan kerjasama industri untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.
“Pavillion Sarawak berfungsi sebagai platform kepada pelabur global, pemimpin teknologi dan perniagaan yang ingin meneroka peluang-peluang besar ditawarkan Sarawak.
“Sehubungan itu, pelancarannya menandakan kesediaan Kerajaan Sarawak untuk berkolaborasi, berinovasi dan berkembang bersama rakan kongsi global, yang mana selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030,” katanya.
Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua itu berkata demikian semasa merasmikan Pavillion Sarawak di sini, semalam.
Jelasnya, Sarawak mempercepatkan transformasi digitalnya dengan memanfaatkan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), 5G, pengkomputeran awan, dan Internet Kebendaan (IoT) untuk mewujudkan peluang perniagaan baharu dan memperbaiki kesejahteraan komuniti.
Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi menegaskan, inisiatif ini akan membolehkan Sarawak memanfaatkan kepakaran global, meneroka penyelesaian inovatif dan membentuk kerjasama yang memacu pertumbuhan digital dan ekonomi yang mampan.
“Tahun ini, kita memperluaskan penglibatan melalui sesi padanan perniagaan, peluang rangkaian dan perbincangan peringkat tinggi untuk memperkukuhkan kerjasama dengan pemimpin teknologi global, pelabur, dan pakar industri.
“Melalui pelibatan ini, Sarawak berhasrat menimba kepakaran global, meneroka penyelesaian terkemuka dan membentuk kerjasama yang bermakna, seterusnya memacu pertumbuhan digital dan ekonomi jangka panjang bagi wilayah ini,” ujarnya.
Pelancaran Pavillion Sarawak ketika MWC yang berlangsung sejak 3 hingga 6 Mac depan menandakan pencapaian penting dalam perjalanan Sarawak untuk menjadi peneraju serantau dalam transformasi digital, teknologi pintar dan pembangunan mampan.

