KABONG: Pertambahan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di negeri ini di samping pelbagai inisiatif untuk golongan itu akan memastikan mereka mendapat sokongan secara holistik.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, PAWE merupakan satu perkhidmatan bercorak pendampingan sosial dan pembangunan kepada warga emas melibatkan kerjasama strategik pelbagai pihak.
“Sehubungan itu, menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), diluluskan projek membina baharu PAWE Kabong (PAWE ke-21 di Sarawak) dengan peruntukan sebanyak RM800,000.
“Selain itu, pada 22 Ogos lalu turut diluluskan PAWE baharu di Bukit Saban,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sesi Libat Urus Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) dan Lain-lain Perkhidmatan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) di Daerah Kabong malam tadi.
Jelasnya, di seluruh Malaysia terdapat 202 PAWE dengan 21 di Sarawak.
“Harapan saya agar penubuhan PAWE terus memberikan manfaat kepada warga emas secara keseluruhan,” ujarnya.
Menyentuh mengenai sokongan kepada warga emas, Razi menyatakan Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan banyak inisiatif seperti SCHB, Kad Emas Kenyalang (KGC) dan Bantuan Ihsan Kematian (BIK).
“Semua ini untuk mengurangkan beban kewangan warga emas seperti kos rawatan, sara hidup dan sebagainya.
“Ia juga akses lebih mudah kepada perkhidmatan, misalnya KGC memudahkan warga emas mendapatkan diskaun dan keistimewaan di pelbagai premis.
“Menerusi BIK pula memberi perlindungan kepada waris apabila berlaku kematian.
“Paling penting, ini bukti Kerajaan Sarawak mengiktiraf jasa warga emas, maka semua inisiatif ini sebagai tanda penghargaan kepada sumbangan mereka selama ini.
“Rakyat tidak rugi kerana semua inisiatif ini adalah percuma, hanya perlu daftar untuk menikmati faedah,” tegasnya.
Ujarnya lagi, tuntasnya Kerajaan Sarawak telah menyediakan KGC, BIK dan SCHB sebagai satu ekosistem sokongan yang cukup besar untuk warga emas.
Razi terdahulu menyempurnakan prapelancaran PAWE Kabong yang terletak di Kampung Simpang 4, Kabong sebagai salah satu usaha Kerajaan Sarawak menyediakan pusat rujukan dan aktiviti khusus untuk warga emas.

