ARTIKEL

ROMEO (tiga kiri) menyerahkan cenderamata kepada penyelaras mesyuarat tersebut daripada wakil ibu pejabat PBB.

PBB Bawang Assan cadang pembentukan kawasan DUN baharu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bawang Assan mencadangkan penstrukturan semula kawasan pilihan raya dengan mempersempadankan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan untuk pembangunan lebih pesat.

Semasa mesyuarat perwakilan cawangan parti tersebut di sini semalam, ketua cawangannya yang dilantik semula bagi menerajui untuk sesi 2025 hingga 2027, Romeo Christopher Tegong berkata, mereka bakal mengemukakan usul utama mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya baharu pada Perhimpunan Agung PBB Ke-16 yang dijadualkan pada Februari 2025.

Usul ini, jelas beliau, bertujuan untuk mencadangkan pembentukan kawasan DUN baharu, meliputi Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rassau, Bawang Assan, dan Penasu, dengan jumlah pengundi dianggarkan sekitar 12,000 orang.

ROMEO (barisan hadapan, tujuh kanan) bersama ahli parti semasa menyuarakan usul mereka selepas mesyuarat tersebut.

“Cadangan ini diharapkan dapat memberi impak besar dalam mempercepat pembangunan di kawasan berkenaan,” katanya.

Romeo menjelaskan, langkah persempadanan semula ini sangat penting untuk memacu kemajuan kawasan Bawang Assan.

Beliau menegaskan, pembaharuan ini bertujuan untuk membawa manfaat besar kepada rakyat melalui pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas yang lebih baik.

“Usul ini akan dibawa ke Perhimpunan Agung PBB pada 14 Februari 2025 dan kemudian akan dibincangkan dalam Persidangan DUN pada Mei sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.

“Kami berharap proses ini dapat diluluskan di parlimen untuk direalisasikan,” kata Romeo yang juga Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak.

Selain itu, beliau menjelaskan, DUN Sarawak ke-19 dijangka berakhir pada 14 Februari 2027 dan beliau optimis cadangan kawasan DUN baharu akan dimasukkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang, memberikan ruang untuk pembaharuan yang lebih besar dalam landskap politik negeri ini.

Romeo turut mengumumkan, selain usul persempadanan semula, beberapa isu lain yang relevan juga akan dibawa ke Perhimpunan Agung PBB, antaranya melibatkan elaun ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK), kuota ahli Majlis Berkuasa Tempatan, serta pelbagai isu pembangunan setempat yang memerlukan perhatian segera.

Untuk rekod, kawasan DUN Bawang Assan kini diwakili oleh Datuk Seri Wong Soon Koh, 82, yang sebelum ini bertanding di bawah Parti Sarawak Bersatu (PSB) pada PRN Ke-12.

Namun, pada Mac lalu, Soon Koh mengumumkan pembubaran PSB dan menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), yang kini merupakan sebahagian daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS). Rentetan itu, Soon Koh dilantik sebagai Naib Presiden Kanan PDP oleh pucuk pimpinan parti PDP.

Soon Koh telah menjadi wakil rakyat di kawasan DUN Bawang Assan selama tujuh penggal berturut-turut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU