DARO: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Daro memperkukuh persiapan jentera parti di semua peringkat sebagai langkah memastikan mereka sentiasa bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bila-bila masa.
Usaha itu diterjemahkan menerusi Program Santai PBB N.42 Daro dan Jom Pamuk yang menghimpunkan kepimpinan serta anggota parti daripada pelbagai peringkat, termasuk Wanita, Pemuda dan golongan belia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro yang juga Ketua Cawangan PBB Daro, Dr Safiee Ahmad, berkata program tersebut bukan sekadar mengeratkan hubungan sesama ahli, malah menjadi platform memperkemas tahap kesiapsiagaan parti menghadapi PRN akan datang.
“Saya menyampaikan amanat kepada seluruh anggota parti supaya menekankan kepentingan setiap peringkat kepimpinan dan ahli PBB sentiasa bersedia menjalankan tanggungjawab masing-masing sekiranya pilihan raya diadakan pada bila-bila masa,” katanya.
“Program ini juga meneruskan kesinambungan Konvensyen PBB di peringkat zon, sekali gus memperkukuh kesatuan serta kesiapsiagaan seluruh jentera parti,” katanya selepas menghadiri program di sini, hari ini.
Beliau berkata, peranan Pergerakan Wanita khususnya amat penting dalam memastikan kekuatan dan kesepaduan PBB terus diperkukuh, selain menggerakkan sokongan akar umbi secara berterusan.
Sehubungan itu, katanya, ahli parti juga perlu memahami serta menguasai maklumat berkaitan pencapaian kerajaan negeri di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi baharu, pendidikan dan kebajikan rakyat.
“Pada masa sama, perpaduan dan kesepakatan dalam parti perlu terus dipelihara supaya PBB kekal kukuh bersama kepimpinan negeri dalam memperjuangkan kepentingan serta hak Sarawak,” katanya.
Program yang dianjurkan oleh Pergerakan Wanita PBB Cawangan Daro dan berpusat di Ranting PBB Kampung Tengah itu dimulakan dengan aktiviti senamrobik seawal jam 6.00 pagi sebelum diteruskan dengan pengisian santai bersama anggota parti.

