KUCHING: Mesyuarat Jawatankuasa Induk Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memberi tumpuan kepada persediaan rapi bagi penganjuran Konvensyen Parti PBB 2026.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, Konvensyen Parti PBB 2026 akan dibahagikan kepada empat zon.
“Konvensyen PBB meliputi Zon Sibu yang dijadualkan pada 26 Julai 2026, Zon Betong (1 Ogos 2026), Zon Miri (12 September 2026) dan Zon Selatan (20 September 2026).
“Konvensyen ini bukan sekadar platform memperkukuh organisasi parti, malah menjadi medan untuk menyelaras hala tuju yang ingin dibawa.
“Sekali gus memperkukuh perpaduan serta memastikan setiap jentera parti sentiasa bersedia mendukung aspirasi rakyat dan agenda pembangunan Sarawak,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau menghadiri mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua Parti PBB, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Ibu Pejabat Parti PBB Sarawak, semalam.
Sehubungan itu, Fadillah berharap iltizam PBB untuk meneruskan khidmat terbaik kepada rakyat serta memacu kemajuan Sarawak di bawah kepimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dapat direalisasikan.
“Semoga segala persiapan berjalan lancar dan konvensyen yang bakal diadakan menjadi wadah untuk memperkukuh semangat perjuangan bersama,” katanya.



