ARTIKEL

Nelson Mujah Girie.

PBB Kakus pertimbang wujudkan DUN Bukit Arip

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SELANGAU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kakus menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempertimbangkan secara serius cadangan mewujudkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Arip dalam Parlimen Selangau menerusi proses persempadanan semula yang sedang dilaksanakan.

Ketua Cawangan PBB Kakus, Nelson Mujah Girie berkata, pewujudan DUN baharu itu amat penting memandangkan keluasan kawasan Parlimen Selangau serta cabaran geografi yang dihadapi penduduk menyebabkan penyampaian perkhidmatan dan pembangunan memerlukan pendekatan yang lebih berkesan.

Beliau berkata, Parlimen Selangau kini mempunyai kira-kira 49,265 pengundi berdaftar yang mendiami kawasan seluas hampir 9,193 kilometer persegi, merangkumi kawasan pentadbiran Tatau, Mukah, Selangau dan Sibu serta melibatkan lebih 800 rumah panjang yang berselerak di seluruh kawasan.

“DUN Kakus sahaja mempunyai sekitar 23,955 pengundi dengan keluasan kira-kira 5,701 kilometer persegi, manakala DUN Tamin pula melibatkan kira-kira 25,265 pengundi dalam kawasan seluas 3,492 kilometer persegi, sekali gus menggambarkan beban tanggungjawab yang besar dipikul wakil rakyat sedia ada.

“Penilaian terhadap keperluan mewujudkan kawasan pilihan raya baharu tidak seharusnya bergantung kepada jumlah pengundi semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira faktor keluasan geografi, kesukaran akses, taburan penduduk serta cabaran dalam menyampaikan perkhidmatan kepada komuniti yang tinggal berjauhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, penubuhan DUN Bukit Arip mampu meningkatkan keberkesanan penyampaian pembangunan, khususnya dalam aspek pembinaan dan naik taraf jalan raya, penyediaan kemudahan asas, pembangunan sektor pertanian, pendidikan, kesihatan, tebatan banjir serta pemerkasaan pembangunan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Tambahnya, dengan adanya wakil rakyat khusus bagi kawasan tersebut, setiap isu dan keperluan penduduk luar bandar dapat diketengahkan dengan lebih konsisten dalam perancangan dasar kerajaan, penyediaan peruntukan pembangunan serta pelaksanaan projek yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Selaras dengan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), sistem perwakilan politik di Sarawak juga perlu berkembang seiring dengan perubahan semasa supaya masyarakat di kawasan pedalaman tidak terus berdepan jurang pembangunan berbanding kawasan lain,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa struktur perwakilan yang lebih seimbang akan membolehkan suara rakyat luar bandar didengar dengan lebih jelas di Dewan Undangan Negeri Sarawak, di samping mempercepatkan pelaksanaan dasar dan projek pembangunan mengikut keperluan setempat.

“Sehubungan itu, kita berharap SPR dapat meneliti cadangan berkenaan secara adil, objektif dan menyeluruh kerana pewujudan DUN Bukit Arip bukan sekadar menambah satu lagi kawasan pilihan raya.

“Ini merupakan langkah penting untuk memperkukuh representasi rakyat luar bandar, memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam serta memastikan pembangunan dapat dinikmati secara lebih saksama oleh seluruh rakyat di kawasan ini,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU