SIBU: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) mengingatkan seluruh jentera parti supaya menjadi benteng utama dalam menangkis penyebaran berita palsu dan maklumat yang dimanipulasi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.
Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata landskap politik masa kini semakin mencabar apabila perkembangan teknologi komunikasi membolehkan maklumat palsu disebarkan kepada masyarakat dalam tempoh yang sangat singkat.
Menurutnya, jika dahulu penyebaran berita palsu mengambil masa beberapa hari, kini hanya dalam beberapa minit video yang disunting, gambar yang dimanipulasi atau kenyataan yang diputarbelitkan mampu sampai kepada jutaan pengguna menerusi pelbagai platform media sosial.
“TikTok, Facebook dan WhatsApp serta teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh digunakan untuk mengelirukan rakyat.
“Justeru, saya menyeru semua supaya tidak mudah mempercayai apa sahaja yang muncul di media sosial, sebaliknya menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Konvensyen Khas PBB Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.
Pada masa sama, Nanta yang juga Menteri Kerja Raya menegaskan ahli PBB juga tidak boleh menjadi ejen yang menyebarkan maklumat tidak benar kerana tindakan sedemikian hanya menguntungkan pihak yang cuba mengelirukan rakyat.
Mengulas lanjut, beliau berkata isu Jambatan Batang Lupar baru-baru ini menjadi contoh bagaimana sesuatu fakta boleh diputarbelitkan sehingga menimbulkan persepsi yang tidak menggambarkan keadaan sebenar.
Jelasnya, walaupun pelbagai kecaman dan tohmahan dilemparkan, akhirnya fakta membuktikan perkara sebenar, sekali gus membuka mata banyak pihak bahawa isu berkenaan telah dijadikan modal politik oleh pihak tertentu.
“Politik hari ini menyaksikan perkara yang benar boleh diputar menjadi salah, manakala perkara yang tidak berlaku boleh digambarkan seolah-olah benar.
“Oleh itu, kita mesti menjadi benteng pertama dalam mempertahankan fakta dan kebenaran,” tegasnya.


