KOTA SAMARAHAN: Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS) akan memantau kelibat pemain yang beraksi di Kejohanan Bola Sepak Piala Perpaduan ADUN N.15 Asajaya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah Edisi Ke-58.
Presiden PBBS, Mohd. Azri Johari menegaskan, langkah tersebut dilakukan sebagai usaha mengenal pasti pemain berbakat untuk diguna pakai membentuk pasukan berwajah baharu bagi menghadapi Liga Premier Sarawak 2026.
“Kita akan menubuhkan skuad pemantau bagi mengenal pasti pemain berbakat sepanjang kejohanan itu berlangsung kelak.
“Saya percaya ramai pemain dari segenap kampung dalam Bahagian Samarahan yang akan turut serta,” ujar Azri ketika ditemui Arena Suara Sarawak pada Majlis Berbuka Puasa PBBS di Dewan Mini E’nang Sari, Kota Samarahan baru-baru ini.
Tegas Azri, fokus pihaknya ketika ini lebih terarah kepada pengambilan barisan pemain muda untuk membentuk skuad itu kelak.
Ini kerana, pendekatan dilakukan pihaknya bagi membentuk skuad kali ini adalah dengan menggabungkan kudrat pemain muda dan berpengalaman yang dikekalkan bagi saingan kali ini.
Dalam pada itu, Azri turut mengakui bahawa pihaknya juga akan memantau kelibat pemain dalam Kejohanan Bola Sepak Terbuka Sebangan, Piala Dato’ Sri Julaihi Narawi Edisi Ke-28 termasuk beberapa kejohanan yang lain.
“Ini memudahkan kita mencari pemain baharu dan berharap segalanya akan berjalan lancar,” kata beliau.
Sementara itu, pada majlis tersebut berlangsung sama majlis penyerahan insentif kepada para pemain dan jurulatih.
Kempen Piala Premier Sarawak 2025/2026 yang lepas menyaksikan Samarahan sekadar naib juara selepas tewas (3-1) di tangan Bintulu pada aksi final.
Berbanding, menduduki tempat ketiga Zon Selatan Liga Premier Sarawak 2025/2026.




