ARTIKEL

Dr. Sim mewakili Premier merasmikan Persidangan PBT Sarawak 2026 di Kuching, hari ini.

PBT digesa percepat pelaksanaan digital

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu muncul sebagai pemacu utama transformasi Sarawak selaras dengan perubahan landskap ekonomi global yang kini diterajui teknologi, tenaga boleh diperbaharui, industri berasaskan data, rantaian bekalan baharu dan pembangunan rendah karbon.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak kini berada dalam fasa pembangunan yang jauh berbeza berbanding sebelum ini apabila ekonomi dunia bergerak ke arah teknologi, industri berasaskan data, rantaian bekalan baharu serta ekonomi hijau.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian pada Majlis Perasmian Persidangan PBT Sarawak 2026 di sini, hari ini.

Menurutnya, melalui Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030, Sarawak telah menetapkan hala tuju jelas untuk menjadi wilayah maju, berpendapatan tinggi, inklusif dan mampan. Justeru, katanya, komitmen diperlukan di semua peringkat kerajaan termasuk PBT bagi mencapai matlamat tersebut.

Mengulas lanjut, Dr. Sim berkata PBT juga perlu mempercepatkan pelaksanaan kerajaan digital supaya penyampaian perkhidmatan menjadi lebih mudah, pantas dan boleh diakses oleh rakyat.

Data, katanya, perlu dijadikan asas utama dalam setiap proses membuat keputusan kerana mampu membantu PBT memahami pelbagai isu seperti risiko banjir, corak aliran trafik, keperluan penyelenggaraan, aduan awam, pertumbuhan perniagaan dan keperluan komuniti.

Dalam pada itu, katanya, pertumbuhan ekonomi memerlukan ekosistem tempatan yang kukuh dengan kawasan perindustrian dirancang secara sistematik, penyediaan perumahan berkualiti kepada pekerja serta kemudahan awam yang cekap. “Di sinilah peranan penting PBT, memastikan pembangunan ekonomi disokong oleh komuniti yang terancang, boleh didiami dan mampan,” ujarnya.

Tegasnya lagi, transformasi memerlukan lebih daripada sekadar idea dan strategi yang baik, ia memerlukan pelaksanaan berkesan, kerjasama erat dan budaya penambahbaikan secara berterusan.

Dengan semangat Segulai Sejalai, PBT di Sarawak mampu menjadi model tadbir urus tempatan masa depan dalam memastikan rakyat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.

“Sarawak tidak menunggu masa depan, sebaliknya mencipta masa depannya sendiri. Dalam perjalanan ini, PBT memikul tanggungjawab besar memastikan setiap dasar sampai kepada rakyat.

Teras kekuatan Sarawak bukan sahaja bergantung kepada dasar di peringkat negeri, malah kepada institusi tempatan yang kukuh. Apabila PBT menjadi lebih kuat, komuniti akan menjadi lebih kukuh, ekonomi akan terus berkembang dan Sarawak akan terus maju,” katanya.

BERITA LAIN

Naik Taraf Balingian Sebagai Daerah Penuh

KUCHING: Daerah Kecil Balingian dicadangkan agar dinaik taraf kepada daerah penuh berdasarkan keluasan kawasan, perkembangan penduduk, pertumbuhan ekonomi serta peningkatan keperluan perkhidmatan kerajaan. ADUN Balingian

BERITA TERBARU

Naik Taraf Balingian Sebagai Daerah Penuh

KUCHING: Daerah Kecil Balingian dicadangkan agar dinaik taraf kepada daerah penuh berdasarkan keluasan kawasan, perkembangan penduduk, pertumbuhan ekonomi serta peningkatan keperluan perkhidmatan kerajaan. ADUN Balingian