KUCHING: Persatuan Catur Bahagian Kuching (PCBK) menyasarkan Yusuf Cup berkembang menjadi kejohanan antarabangsa berprestij yang mampu menarik penyertaan pemain bertaraf dunia, termasuk Magnus Carlsen, ke Sarawak.
Presidennya, Chuang Kuang Hong berkata, hasrat itu merupakan aspirasi jangka panjang persatuan untuk meletakkan Yusuf Cup sebagai kejohanan penting dalam kalendar catur antarabangsa.
“Walaupun impian ini mungkin kelihatan besar pada hari ini, setiap perjalanan yang hebat bermula dengan langkah pertama yang kecil,” katanya dalam kenyataan sempena kejohanan yang berakhir di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, pada Sabtu.
Yusuf Cup 2026 mencatat rekod penyertaan baharu PCBK dengan 202 pemain, merangkumi 50 pasukan yang masing-masing dianggotai tiga pemain serta 52 peserta individu.
Selepas 10 pusingan pertandingan, Hendra Supriyadi muncul juara kategori individu keseluruhan dengan mengumpul 9.5 mata, diikuti Edmund Goh Guang Yi dan Syed Ilyas Bin Syed Muhammad Yusuf yang masing-masing memperoleh 8.5 mata.
Dalam kategori berpasukan, Team Liquid muncul juara dengan kutipan 22.5 mata menerusi barisan pemain Syed Ilyas, Elaine Chieng Shu Qi dan Joshua Ting Shi Wen.
The Apex Trio menduduki tempat kedua dengan 22 mata, manakala Three Brain Cells di tempat ketiga dengan 21.5 mata.
Chuang berkata, jumlah penyertaan itu mencerminkan perkembangan positif sukan catur di Kuching, selain membuktikan keupayaan permainan berkenaan menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.
Menurutnya, catur mampu menghubungkan semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia, jantina, kaum atau latar belakang, selain boleh dimainkan sepanjang tahun tanpa dipengaruhi keadaan cuaca.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Penaung PCBK, Datuk Yusuf Abd Wahab, memuji penganjuran kejohanan itu yang menyediakan platform kepada pemain untuk mengembangkan bakat dan potensi masing-masing.
Beliau berkata, catur membantu membentuk kemahiran berfikir secara kritis, menganalisis dan merancang strategi, selain mengajar pemain supaya belajar daripada kesilapan serta tidak mudah berputus asa ketika berdepan cabaran.
Yusuf Cup 2026 menawarkan hadiah wang tunai kira-kira RM5,700, selain hadiah tajaan dan cabutan bertuah bernilai sekitar RM4,000, dengan sokongan 17 penaja.
Antara keistimewaan kejohanan itu ialah trofi eksklusif daripada kayu belian tajaan Asiana Gallery yang menampilkan reka bentuk buah catur Ratu melindungi Raja.
PCBK ditubuhkan pada Ogos 2025 dan menggunakan slogan “Shaping Minds, Building Champions” dalam usaha memperkembangkan sukan catur di Kuching.

