KUALA LUMPUR: Petronas Chemicals Group Bhd (PCG) telah mencapai keputusan pelaburan akhir (FID) untuk membina loji kitar semula kimia termaju yang terbesar di Asia dengan kapasiti 33 kilo-tan setahun (ktpa).
Loji itu akan terletak di Pengerang, Johor dan disasarkan beroperasi pada separuh pertama 2026.
Pengumuman FID tersebut turut menyaksikan pemeteraian perjanjian lesen teknologi (TLA) antara anak syarikat PCG dan Plastic Energy Ltd (Plastic Energy) serta penganugerahan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) kepada Mutiara Etnik Sdn Bhd.
Dalam satu kenyataan bersama, katanya loji tersebut akan dapat meneroka keupayaan kitar semula kimia sisa plastik di Malaysia sebagai sebahagian daripada agenda Ekonomi Plastik Baharu PCG untuk menyokong peralihan ke arah ekonomi kitaran dan menyumbang kepada ekosistem plastik yang lestari.
“Ia akan dilakukan melalui penukaran plastik akhir hayat kepada minyak pirolisis atau TACOIL, yang boleh digunakan sebagai stok suapan kimia ke arah penghasilan plastik yang lestari,” katanya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PCG Mohd Yusri Mohamed Yusof berkata melalui loji kitar semula kimia termaju ini, kumpulan mempunyai visi untuk memacu inovasi dalam rantaian nilai plastik selain mewujudkan peluang untuk semua pihak, daripada pengumpul sisa kepada pengilang, untuk bersama-sama menyumbang kepada ekonomi plastik kitaran.
“Ini membolehkan kami memacu aspirasi negara untuk menghentikan penggunaan plastik sekali guna secara berperingkat, selaras dengan Rangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia 2021-2030, di samping memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada jenama-jenama besar untuk pembungkusan lestari,” katanya. – BERNAMA



