KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berpandangan usaha membantu anggota polis yang masih belum memiliki kediaman boleh dibincangkan secara berkala antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Kerajaan Sarawak.
Beliau berkata, nama anggota berkenaan boleh dikemukakan untuk dipertimbangkan menerima lot atau rumah menerusi skim yang bersesuaian, termasuk di kawasan perluasan kampung mengikut daerah tempat mereka sedang atau akan menetap.
“Langkah ini penting bagi membantu meningkatkan kebajikan anggota polis, khususnya dalam aspek pemilikan kediaman, sebagai penghargaan ke atas khidmat dan pengorbanan mereka dalam menjaga keamanan serta keselamatan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan perpisahan Pengarah Pengurusan PDRM merangkap Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Datuk Mohamad Zainal Abdullah bersama isteri, Datin Dr Nitce Isa Medina Machmudi Isa, di Astana Negeri Sarawak, pagi ini.
Kunjungan itu turut disertai Ketua Jabatan Pengurusan SAC Zulkipli Suhaili; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC Kumarasan Muniandy; serta Setiausaha Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) ASP Rathna Borhan.
Dalam pertemuan berkenaan, Tun Wan Junaidi yang pernah berkhidmat dalam pasukan polis turut berkongsi pengalamannya serta menyentuh perubahan dalam aspek kepolisan berbanding ketika beliau masih dalam perkhidmatan.
Beliau berkata perkembangan teknologi, termasuk penggunaan sistem digital dan peralatan moden, banyak membantu memudahkan tugas anggota, meningkatkan kecekapan pengurusan serta memperkukuh keupayaan PDRM dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.
Pada pertemuan itu, Tun Wan Junaidi dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi turut mengucapkan tahniah kepada Mohamad Zainal atas kenaikan pangkat beliau.
Mereka turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga PDRM atas komitmen, dedikasi dan profesionalisme dalam melaksanakan amanah menjaga keamanan serta keselamatan, khususnya di Sarawak.
Tun Pehin turut mendoakan kejayaan Mohamad Zainal dalam menggalas amanah dan tanggungjawab baharu serta terus menyumbangkan pengalaman dan kepimpinannya kepada PDRM dan negara.




