KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai maklumat tentang keberadaan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low, yang didakwa berada di Myamnar, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Beliau berkata setakat ini pihak berkuasa Myanmar tidak berkongsi sebarang maklumat dengan PDRM tentang individu penting bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) itu, memandangkan negara tersebut juga berada dalam Polis ASEAN (ASEANAPOL).
“Apa juga maklumat yang ada, kita akan kongsi termasuk dengan ASEANAPOL.
“Buat masa ini, kita tiada apa-apa maklumat, dan Myanmar juga tidak memberi sebarang makluman.
“Kita juga mempunyai kerjasama dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL) dan ASEANAPOL, malah baru-baru ini saya juga telah menghadiri perhimpunan agung INTERPOL di Glasgow, Scotland selama seminggu.
“Apa juga maklumat yang kita ada, kita akan kongsi, termasuk dengan Myanmar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) 2024 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang juga peguam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mendakwa Jho Low kini bersembunyi di Myanmar. – BERNAMA


