Pecah masuk studio muzik, seorang lelaki ditahan

BINTULU: Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan pecah masuk studio muzik di sebuah premis kawasan Medan Jaya, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata lelaki tempatan berumur 28 tahun itu ditahan sepasukan polis daripada cawangan Jabatan Siasatan Jenayah IPD Bintulu diketuai Insp. Nixon Anak Malang, kira-kira jam 5.40 petang, Jumaat.

Beliau berkata hasil pemeriksaan dalam premis tempat tinggal saspek berjaya menemukan hampir 12 item barang yang dilaporkan hilang.

Saspek, katanya, kini ditahan reman sehingga  6 Februari sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah premis dan curi.

Jika sabit kesalahan, saspek berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan yang dilakukan kali kedua atau yang kemudian, boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pada 29 Januari lalu, kira-kira jam 8.20 malam pihak polis telah menerima satu laporan berhubung satu kejadian pecah studio muzik di sebuah premis kawasan Medan Jaya.

Pengadu melaporkan pada jam 6.30 petang hari berkenaan semasa tiba di premisnya, beliau melihat tombol pintu telah rosak dan pemeriksaan di dalam bilik studio mendapati barang- barang berselerak.

Turut hilang pelbagai peralatan  muzik seperti tiga unit gitar akustik, masing-masing dua unit gitar eletrik dan keyboard, satu unit dram eletrik, satu unit pembesar suara, lima unit amplifier gitar dan dram, sepuluh unit effect gitar dan pelbagai alat ganti gitar.

Suara Sarawak