ARTIKEL

gambar hiasan

Pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah terima rasuah RM5,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Seorang pegawai Imigresen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Bintulu atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah sebanyak RM5,000, melibatkan satu kes yang berlaku tiga tahun lalu.

Tertuduh berusia 44 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Steve Ritikos pada 12 tengah hari, semalam (Rabu).

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Bintulu, didakwa meminta wang tunai RM5,000 daripada seorang staf Bintulu Port.

Wang tersebut didakwa sebagai balasan untuk menutup kes siasatan terhadap bapa staf terbabit yang disyaki melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) – satu kesalahan di bawah Seksyen 55(E) Akta Imigresen 1959/1963.

Tertuduh merupakan Penolong Pegawai Penyiasat dalam kes tersebut dan didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Bintulu pada 23 Februari 2022, kira-kira 10.15 malam.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Yong Ann Nee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU