KUCHING: Meskipun tidak lagi aktif dalam tugas rasmi, penjawat awam Sarawak yang telah bersara diseru agar terus memberi sumbangan berharga dalam pelbagai kapasiti.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, mereka boleh memanfaatkan pengalaman, kepakaran dan kebijaksanaan yang diperoleh sepanjang perkhidmatan mereka.

Menurutnya, mereka masih memiliki potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan wilayah ini melalui pelbagai saluran.
“Sehubungan itu, pengalaman yang dimiliki adalah aset yang tidak ternilai.
“Ia dapat terus memberi impak positif kepada masyarakat serta memperkukuhkan usaha bersama untuk mencapai kemajuan yang lebih gemilang bagi Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Sekalung Budi Perkhidmatan Awam Sarawak di Dewan Santapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Beliau percaya mereka yang telah bersara telah merasai manfaat daripada kerja yang telah dilaksanakan, kerana impaknya yang besar dalam kehidupan semua.
“Kita bersama-sama mempersiapkan diri untuk menghadapi cabaran-cabaran yang akan datang.
“Bagi pihak Kerajaan Sarawak, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas perkhidmatan yang telah diberikan dan selamat bersara.
“Semoga anda juga menjadi contoh teladan kepada mereka yang masih berkhidmat dalam perkhidmatan awam,” ujarnya.
Pada majlis itu, 12 pegawai kanan kerajaan yang bersara pada 2023 dan 2024 telah diraikan.
Antaranya ialah mantan Setiausaha Tetap Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Edwin Abit, mantan Pengarah Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Datuk Ismail Mohamad Hanis, mantan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembentungan Sarawak, Datuk Ir Lau Hieng Ung, mantan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Azmi Bujang, serta mantan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak, Alexander Unya Ambon.
Selain itu, mantan Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain, Datuk Jack Aman Luat, mantan Residen Bahagian Miri, Jamalie Busri, mantan Pegawai Daerah Marudi, Belayong Pok, mantan Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Datuk Alice Jawan Empaling, mantan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Noriah Ahmad, mantan Pegawai Daerah Pantu, Langgong Wasam, dan bekas Pegawai Daerah Pusa, Bujang Ladi.





