ARTIKEL

ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa | Bernama

Pegawai tentera bakal didakwa memandu bawah pengaruh alkohol

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai tentera akan dituduh di mahkamah hari ini atas pertuduhan membunuh dan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian serta kecederaan dalam kemalangan pada Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa dalam kenyataan hari ini berkata kertas siasatan kes itu dirujuk kepada Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara (AGC) di Putrajaya semalam.

“Pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian penumpang lelaki e-hailing akan dibuat di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur.

“Dua pertuduhan mengikut Seksyen 44(1A)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan kandungan alkohol melebihi had ditetapkan, iaitu 150 miligram alkohol dalam 100 mililiter nafas sehingga menyebabkan kecederaan kepada pemandu dan penumpang e-hailing di Mahkamah Trafik,” katanya.

Mohd Zamzuri juga memaklumkan kertas siasatan itu ditaklimatkan kepada Ketua Bahagian Pendakwaan AGC, Datuk Masri Mohd Fuad oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nordin Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham dengan kehadiran pegawai penyiasat kes.

Sebelum ini, polis mengesahkan kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) e-hailing jenis Perodua Alza dan sebuah kereta Ford Fiesta pada 5.38 pagi 23 April di Kilometer 1.9 Lebuhraya MEX dari arah Salak Selatan menghala ke Jalan Tun Razak.

Siasatan awal mendapati Ford Fiesta yang dipandu pegawai tentera dipercayai mabuk telah memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Perodua Alza yang dipandu lelaki berusia 41 tahun yang membawa dua penumpang dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kemalangan itu menyebabkan penumpang e-hailing, lelaki Bangladesh berusia 22 tahun maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala manakala rakan senegaranya, wanita berusia 20 tahun dan pemandu e-hailing cedera. — Bernama

BERITA LAIN

Cubaan seludup rokok di Serikin gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi

BERITA TERBARU