BINTULU: Pejabat gudang milik sebuah syarikat swasta musnah dalam kebakaran di Jalan Kidurong di sini, awal pagi tadi.
Insiden kira-kira jam 2.00 pagi itu turut mengakibatkan lima buah lori yang diparkir berhampiran lokasi kejadian terbakar.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak (PGOB), pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.01 pagi sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi untuk melakukan operasi pemadaman.
“Pasukan bomba bertindak membuat pemadaman melalui pancutan air pili bomba ke pam jentera untuk memadam kebakaran tersebut.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kejadian tidak mengakibatkan kecederaan dan kehilangan nyawa. Hanya bahagian hadapan lori terbabit musnah,” katanya.
Sebelum mengakhiri operasi ujarnya, bomba turut melakukan pemantauan susulan bagi mengelak kebakaran berulang.
“Setelah memastikan api dipadamkan sepenuhnya dan tiada lagi punca nyalaan api, pasukan bomba bertolak balik ke balai,” katanya.

