AUSTRALIA: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman), Datuk Murshid Diraja Datuk Dr Juanda Jaya mengetuai delegasi Ombudsman Sarawak mengadakan lawatan kerja ke Pejabat Ombudsman Australia Barat di Perth pada Rabu (12 November).
Delegasi yang disertai petugas Ombudsman Sarawak serta Ketua Ombudsman Sarawak, Datuk Seri Abdul Ghafur Shariff, telah disambut mesra oleh Timbalan Pelaksana Ombudsman Australia Barat, Brianna Lonnie, serta Pembantu Penyiasat dan Resolusi Ombudsman, Katrina.
Jabatan Ombudsman Sarawak menerusi satu kenyataan menegaskan lawatan itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala antara Pejabat Ombudsman Sarawak dan Pejabat Ombudsman Australia Barat terutama dalam aspek pengalaman, amalan serta pembangunan pengurusan dan penyelesaian aduan awam.
Menurut kenyataan itu, Pejabat Ombudsman Australia Barat merupakan negeri pertama di Australia yang menubuhkan institusi Ombudsman.
“Pejabat ini berperanan menyiasat aduan orang awam terhadap agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun secara bebas, objektif dan adil selain melaksanakan siasatan isu sistematik dalam pentadbiran awam serta mengemukakan syor penambahbaikan bagi meningkatkan tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan perkhidmatan awam.
“Persamaan dari segi mandat dan pendekatan antara kedua-dua pejabat menjadikan hubungan kerjasama amat bertepatan dan wajar diperkukuh khususnya dalam bidang latihan serta perkongsian kepakaran berkaitan pengendalian aduan dan transformasi pentadbiran awam,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu menegaskan antara hasil lawatan ialah Pejabat Ombudsman Australia Barat sedang merangka program latihan dan akan menjemput Sarawak untuk turut serta.
Katanya, program tersebut akan merangkumi aspek pengendalian aduan dan penambahbaikan proses penyiasatan bagi memperkukuh kecekapan serta profesionalisme dalam pelaksanaan fungsi ombudsman.
Selain itu, Pejabat Ombudsman Australia Barat turut berhasrat menjemput Pejabat Ombudsman Sarawak sebagai pemerhati dalam Mesyuarat Australian and New Zealand Ombudsman Association (ANZOA) akan datang.




