KUCHING: Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATO) di Pontianak disasar mula beroperasi pertengahan tahun depan, manakala pejabat sama di Abu Dhabi kini dalam perancangan untuk direalisasikan.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, bangunan bagi pejabat di Pontianak telah dikenal pasti dan kini memerlukan kerja pengubahsuaian sebelum boleh mula beroperasi.
“Sekarang ini kita telah pun mengenal pasti bangunan, dan ia perlu dibuat pengubahsuaian dan sebagainya.
“Jadi, diharapkan kita boleh mula beroperasi tahun depan, mungkin pertengahan tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Usahawan Mikro Kebajikan 2026 dan Karnival Wellbest Kebajikan 2026 di Pusat Konvensyen MetroCity di sini, hari ini.
Menurutnya, penubuhan pejabat di Pontianak turut memerlukan kelulusan Kerajaan Indonesia melalui kementerian berkaitan sebelum operasi dapat dimulakan.
“Kita juga perlu mencari dan melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk pejabat di Pontianak.
“Pada masa sama, kita perlu mendapatkan kelulusan daripada Kerajaan Indonesia melalui kementeriannya. Itu penting,” katanya.
Mengulas perancangan pejabat di Abu Dhabi, Awang Tengah berkata ia akan menggunakan konsep yang sama seperti STATO.
“Untuk Abu Dhabi, kita rancang pejabat yang sama, STATO. Ia akan diselenggara oleh pihak PETROS dan Sarawak Energy Berhad.
“Saya fikir ia sudah dalam perancangan. Diharapkan mereka boleh meneruskan rundingan dan mengenal pasti bangunan yang sesuai,” katanya.
Sementara itu, Awang Tengah berkata pejabat di Pontianak akan diletakkan di bawah sebuah syarikat milik kementeriannya, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan Kerajaan Indonesia.
“Kita mesti pastikan untuk menubuhkan syarikat mengikut syarat-syarat dengan Kerajaan Indonesia. Begitu juga macam di Abu Dhabi nanti,” katanya.



