MIRI: Seorang pejalan kaki warga asing berusia 36 tahun maut dalam satu kemalangan jalan raya di Jalan Kampung Wireless, di sini, kira-kira jam 11.30 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian tersebut melibatkan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita tempatan berusia 37 tahun.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu berkenaan sedang memandu dari arah Lapangan Terbang Miri menghala ke Krokop.
“Apabila tiba di Jalan Kampung Wireless, kenderaan terbabit dipercayai telah melanggar mangsa yang berada di tengah jalan dan sedang cuba melintas ke kawasan Kampung Wireless,” katanya dalam satu kenyataan.
Akibat perlanggaran tersebut, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mohd Farhan berkata, polis telah menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Faizul Ab. Rahim di talian 014-8582582 atau 085-430479, atau hadir ke balai polis berhampiran.
“Dalam masa sama, pihak polis menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas serta mengamalkan pemanduan berhemah demi keselamatan bersama,” katanya.

