Trending

Pekasam balu perwira negara

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KOTA SAMARAHAN: Menjadikan makanan kegemaran mendiang suaminya sebagai satu perniagaan, Jabah Mingku Voon semakin giat menjual pekasam ikan jelawat yang lebih dikenali sebagai ikan sultan dalam talian.

Jabah, 42, merupakan balu kepada perwira negara iaitu DSP Micheal Padel yang gugur dalam serangan hendap pengganas di Kampung Simunul, Semporna di Sabah pada 2 Mac 2013.

Menyifatkan mendiang suaminya sebagai seorang yang romantik, Jabah memberitahu, makanan eksotik seperti pekasam ikan, pekasam sayuran dan tempoyak adalah menjadi kegemaran perwira negara berketurunan Bidayuh itu.

“Jadi, saya mengabadikan kenangan bersama-sama mendiang untuk menjalankan perniagaan menjual pekasam ikan sultan selain produk lain seperti keropok ikan, keropok nasi, kek lobak merah dan acar rebung.

“Saya menjalankan perniagaan pekasam ikan sejak lapan tahun lalu yang kini semakin mendapat sambutan dan tular di media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh Suara Sarawak di kediamannya di sini, semalam.

Jabah yang berasal dari Simunjan bersyukur kerana pekasam ikannya mendapat sambutan meskipun terdapat persai-ngan tempatan.

“Kadangkala saya tidak menang tangan untuk menerima tempahan dari seluruh Sarawak sehingga ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan tempat lain.

“Malah, ketika negara dilanda pandemik Covid-19 dan PKP dilaksanakan, ia tidak menjejaskan perniagaan saya dengan mengambil tempahan di kawasan terdekat sahaja,” katanya sambil menambah anak tunggalnya, Macluie banyak membantu.

Menurutnya, bagi memenuhi tempahan dalam tempoh dua minggu, 20 kilogram hingga 50 kilogram ikan sultan diperlukan yang dibelinya di pasar basah berdekatan.

“Saya menjual pekasam ikan sultan ini pada harga RM40 sekilogram dan turut diagihkan kepada saiz lebih kecil iaitu setengah kilogram (RM20).

“Keropok ikan dan keropok nasi saya jual RM6 sebungkus manakala acar rebung RM10 dengan berat 300 gram,” ujarnya.

Jabah yang turut menyediakan perkhidmatan katering memberitahu, setakat ini beliau hanya mempromosikan produknya melalui media sosial. “Saya juga menghasilkan keropok ikan dan keropok nasi secara manual.

“Maka, saya berharap pihak kerajaan dapat membantu dari segi peralatan mesin bagi memudahkan proses pengadunan,” katanya.

Ini kerana menurutnya, beliau tidak begitu arif mengenai langkah untuk memohon bantuan seumpama itu.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru