KOTA SAMARAHAN: Penguasaan ilmu teknikal dalam kalangan pekebun perlu diperkasakan secara berterusan bagi memastikan hasil durian yang lebih konsisten dan berkualiti, sejajar dengan potensi besar industri durian sebagai antara komoditi bernilai tinggi di Sarawak.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata sejajar dengan itu, Kursus Pengurusan dan Kawalan Penyakit Tanaman Durian berupaya meningkatkan produktiviti pekebun durian di negeri ini.

“Aspek pengurusan ladang yang sistematik, penggunaan baja berkualiti serta racun perosak yang tepat merupakan elemen penting dalam meningkatkan keberhasilan tanaman durian, khususnya dalam menghadapi cabaran serangan penyakit yang semakin kompleks,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) berkata demikian ketika berucap pada Kursus Pengurusan dan Kawalan Penyakit Tanaman Durian di PPNS, di sini, hari ini.
Menurutnya, kursus seperti ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada kaedah kawalan penyakit yang berkesan, malah membantu pekebun memahami kepentingan amalan pertanian baik (GAP) demi menjamin kelestarian sektor pertanian Sarawak.
“Sehubungan itu, penyertaan dalam kursus ini amat penting kerana peserta akan didedahkan kepada kaedah penjagaan tanaman durian yang betul sepanjang tahun secara berperingkat dan berkesan.
“Ia merangkumi aspek pembajaan, kawalan penyakit, pengurusan ladang serta persediaan musim berbuah.
“Dengan sokongan berterusan pihak FastGrow Fertilizer, beliau berharap penggunaan baja berkualiti, racun yang sesuai serta ilmu pengurusan yang betul dapat membantu pekebun durian di Sarawak meningkatkan produktiviti tanaman dan mengurangkan risiko kerugian akibat serangan penyakit,” jelasnya.
Beliau menambah, peranan PPNS amat signifikan dalam membimbing pekebun melalui pemindahan teknologi, latihan berterusan serta kerjasama strategik bersama pihak swasta dan agensi berkaitan.



